
KUCHING: Malaysia komited mempromosi dan memperkenalkan pelancongan 'underwater' sebagai aktiviti baharu dalam pelancongan negara selain terus memelihara warisan budaya di bawah air.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian meningkatkan aktiviti sedemikian agar mereka yang menggemari aktiviti di bawah air dapat menikmati produk pelancongan lain yang disediakan.
"Sesetangah orang suka menyelam dan mereka lebih seronok jika melibat batu karang dalam laut dan perkara seperti ini harus kita pertingkatkan ativitinya.
"Misalnya di Pulau Pasir di Langkawi, kita telah mencipta siri arca dalam air iaitu yang terbaharu pelancongan underwater kita perkenalkan. Saya berharap suatu hari nanti ada yang seperti ini di Santubong," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Ke-23 Jawatankuasa Kecil Kebudayaan ASEAN-COCI (SCC) dan Mesyuarat Ke-11 Rangkaian Kerjasama Kebudayaan ASEAN Campur Tiga (APTCCN) di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya Nancy berkata, pada 2021, MOTAC dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berjaya melancarkan 1st ASEAN Underwater Mini Landmark (AUMiL) yang pertama sempena Seminar ASEAN mengenai Pemeliharaan dan Perlindungan terhadap Warisan Budaya di Bawah Air 2021.
Katanya, AUMiL akan terus dibangunkan sebagai produk pelancongan budaya yang mampan di Malaysia yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.
"Selain menggalakkan usaha untuk memulihara dan memelihara warisan budaya bawah air, ia akan memupuk penghargaan budaya yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat ASEAN," katanya.
Sementara itu mengenai mesyuarat yang diadakan itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, mesyuarat itu diadakan di Sarawak buat kali pertama.
Beliau berkata mesyuarat dua hari itu melibatkan 20 perwakilan dari negara anggota ASEAN akan mempromosikan pertukaran idea dan pengalaman dalam ruang budaya.
Katanya Malaysia komited untuk mempromosikan sektor warisan budaya kerana ia kekal sebagai penjana pertumbuhan ekonomi dan kebanggaan serantau.
"Kami juga akan menyokong sepenuhnya sebarang projek dan program masa depan yang meraikan kekayaan kepelbagaian budaya dan warisan ASEAN.
"Saya yakin perbincangan kami mengenai projek kebudayaan semasa mesyuarat akan membuahkan hasil bersama yang positif untuk rantau ini," katanya.