Anda di sini

Sarawak akan punyai kilang pemasangan kereta hidrogen

Advertisement

KUCHING: Sarawak bakal mempunyai kilang pemasangan kereta hidrogen di sini dengan kerjasama sebuah syarikat dari luar negara.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni berkata, pembinaan kilang terbabit adalah selaras dengan dasar Sarawak ke arah ekonomi hijau.

Beliau tidak mendedahkan nama negara terlibat dan berkata, butiran lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan oleh Premier Sarawak yang juga Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

"Kita akan ada kilang pemasangan kereta hidrogen di sini, dalam masa terdekat, supaya harga kenderaan berkenaan lebih mampu milik berbanding dibeli dari luar.

"Memorandum persefahaman (MoU) telah diadakan dan tanah (tapak) juga sudah dikenal pasti di sekitar sini," ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Tenaga Bersih Ke-18 (ICCE) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Dr Hazland (dua kanan) melawat pameran yang diadakan sempena ICCE di BCCK hari ini.
Dr Hazland melawat pameran yang diadakan sempena ICCE di BCCK hari ini.

Dr Hazland berkata, meskipun kenderaan seperti kereta atau motosikal bukan penyumbang utama kepada pencemaran udara khasnya di Sarawak, namun negeri ini perlu mengambil langkah ke hadapan dengan menyediakan dasar ekonomi hijau sendiri termasuk beralih kepada penggunaan kenderaan elektrik (EV) yang berasaskan sel bahan api hidrogen atau FCEV.

Katanya, pencemar atau penyumbang utama kepada karbon di dunia adalah industri penerbangan dan industri minyak dan gas, selain industri berat.

"Walaupun kereta atau motosikal tidak begitu banyak di Sarawak seperti di tempat lain, tetapi kita perlu bertindak dan Sarawak akan memulakan peralihan ke arah EV.

"Terdapat dua jenis EV iaitu Battery Electric Vehicles (BEV), menggunakan bateri yang kita rasakan juga mungkin tidak begitu hijau kerana pengeluaran baterinya yang masih menjadi persoalan.

"Oleh itu untuk Sarawak, kita menumpukan FCEV di mana bahan apinya adalah menggunakan hidrogen. Sebab itu, kita mempunyai bas hidrogen yang sudah tiga tahun," katanya.

Menurut beliau, Sarawak juga dijangka akan mengimport lebih banyak kenderaan menggunakan bahan api hidrogen untuk kegunaan kabinet yang akan digunakan secara bergilir.

Sementara itu, Dr Hazland berkata, Malaysia perlu mempunyai pendekatan dalam menangani isu perubahan iklim dan ke arah tekonologi hijau termasuk penggunakan kenderaan elektrik.

Jelasnya, beliau telah menyertai mesyuarat bersama Perdana Menteri serta wakil dari negeri lain mengenai penggunaan EV di negara ini, baru-baru ini.

"Kami telah tampil dengan kesimpulan di mana kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk menggalakkan penggunaan EV, pertamanya adalah duti import untuk EV dan kedua mungkin kereta tempatan kita perlu berubah ke arah pengeluaran EV," jelasnya.

Dr Hazland berkata, mengambil contoh di negara Norway, 75 peratus daripada kereta mereka adalah EV dan mereka boleh mencapainya dalam tempoh empat tahun sahaja.

Jelasnya, ia mampu dicapai apabila kerajaan negara itu melakukan dua perkara iaitu memansuhkan cukai import EV dan memperkenalkan diskaun cukai pendapatan kepada mereka yang memandu EV.

  • oleh
  • Advertisement