Anda di sini

Wanita nak rawat suami curang rugi RM59,750 diperdaya rakan

Advertisement

KUCHING: Seorang wanita mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menipu rakan wanitanya berhubung urusan merawat suami mangsa yang dipercayai menjalani hubungan sulit, sehingga mangsa mengalami kerugian RM59,750.

Tertuduh, Tanggamuthu Sinthamani, 63, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi sepuluh tahun dan dengan sebatan dan boleh didenda.

Majistret Zubaidah Sharkawi memerintahkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM1,000 berserta seorang penjamin tempatan, selain menetapkan 7 September ini untuk pengurusan kes.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menipu rakannya dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh merawat suaminya yang disyaki menjalankan hubungan sulit dengan perempuan lain.

Tertuduh didakwa mendorong mangsa menyerahkan wang tunai secara ansuran berjumlah RM59,750 kepada tertuduh pada 1 April 2020, di kediaman tertuduh terletak di Jalan Batu Kawa.

Mangsa pergi ke rumah tertuduh untuk berbincang mengenai bomoh yang boleh merawat suami mangsa dan seterusnya menyerahkan wang tunai tersebut secara ansuran kepada tertuduh, untuk diserahkan kepada seorang bomoh bergelar 'Datuk.'

Terdapat buku menunjukkan duit itu telah dibayar oleh mangsa kepada tertuduh yang juga mengandungi tandatangan kedua-dua tertuduh dan mangsa.

Bagaimanapun, mangsa berasa tertipu dan seterusnya membuat laporan polis.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.

  • oleh
  • Advertisement