Anda di sini

Tiga maut dalam kejadian tembakan di universiti Filipina

Advertisement
Yumol (kiri) diiringi polis di Kem Karingal berikutan penangkapan beliau selepas menembak mati tiga orang di Ateneo de Manila University, Manila, kelmarin. — Gambar AFP
Yumol (kiri) diiringi polis di Kem Karingal berikutan penangkapan beliau selepas menembak mati tiga orang di Ateneo de Manila University, Manila, kelmarin. — Gambar AFP

MANILA: Tiga orang terkorban kelmarin dalam satu kejadian tembakan yang jarang berlaku di sebuah universiti di bandar utama Manila di Filipina, menurut pihak berkuasa, dalam apa yang kelihatan sebagai satu pembunuhan yang disasarkan.

Insiden berlaku di Ateneo de Manila University ketika pelajar jurusan undang-undang dan keluarga mereka tiba untuk satu majlis graduasi yang akan dihadiri oleh ketua hakim Mahkamah Agung.

Rose Furigay, seorang bekas datuk bandar di wilayah selatan terpencil Basilan yang anak perempuannya merupakan antara graduan, telah terbunuh, menurut pihak berkuasa.

Pembantu eksekutif Furigay dan seorang pengawal keselamatan universiti juga turut terkorban.

Anak perempuannya tercedera dan berada dalam satu “keadaan stabil” di hospital, kata polis.

 “Kami berasa sangat sedih dan berdukacita dengan kejadian ini,” Joy Belmonte, datuk bandar untuk sebuah unit kerajaan tempatan di mana kejadian tembakan itu berlaku, memberitahu AFP.

Penyerang bersenjata itu meninggalkan tempat kejadian dengan memaksa seorang pemandu keluar dari kenderaan, sebelum meninggalkannya dan melarikan dirinya dengan menaiki sebuah jip, kata polis. Dia kemudian ditahan berhampiran sebuah gereja.

Pihak polis menemui dua pucuk pistol dan satu alat peredam bunyi dikatakan dgunakan oleh suspek, yang mereka kenal pasti sebagai Chao-Tiao Yumol serta dikatakan mempunyai “sejarah panjang” melibatkan perbalahan perundangan dengan Furigay. 

Yumol telah diikat jamin bagi tuduhan siberlibel.

“Ini kelihatan seperti seorang pembunuh yang bersungguh-sungguh,” Brigadier Jeneral Polis Remus Medina memberitahu wartawan, menyatakan insiden itu sebagai “terpencil”.

Yumol dengan muka yang melecet, telah ditunjukkan oleh pihak polis kepada wartawan. Dia menuduh Furigay sebagai seorang “ketua dadah”.

Kejadian tembakan di sekolah dan universiti jarang berlaku di Filipina meskipun peraturan senjata yang tidak ketat. 

Namun pembunuhan yang disasarkann terhadap ahli politik agak biasa berlaku, terutama ketika pilihan raya.

Furigay, yang mana keluarganya mendominasi politik di Bandar Lamitan,  berkhidmat selama tiga penggal sebagai datuk bandar dan telah dihalang oleh perlembagaan daripada cuba bertanding semula dalam pilihan raya 9 Mei.

Dia telah digantikan oleh suaminya, yang telah memegang jawatan itu sebelum dia – satu kejadian biasa di Filipina di mana keturunan yang berkuasa menyerahkan jawatan kepada anggota keluarga bagi mengekalkan pengaruh mereka.

Ateneo de Manila University telah membatalkan majlis graduasi tersebut.

Dalam satu kenyataan, pihak universiti mengecam kejadian tembakan dan menyatakan ia telah “merampas anggota bagi kelas Sekolah Perundangan 2022 untuk apa yang sepatutnya merupakan satu sambutan penuh kegembiraan.”

Ketua Hakim Mahkamah Agung Alexander Gesmundo merupakan speaker jemputan bagi majlis tersebut, namun beliau masih dalam perjalanan ke universiti ketika kejadian tembakan berlaku, menurut seorang jurucakap mahkamah.

Insiden berlaku pada petang bagi ucapan rasmi pertama negara oleh Presiden Ferdinand Marcos Jr, di mana beliau dijangka akan mengemukakan rancangan bagi memulihkan ekonomi dan menangani inflasi.

Marcos Jr menyuarakan rasa terkejut dengan insiden itu dan menyatakan agensi penguatkuasaan undang-undang akan “menyiasat secara menyeluruh dan cepat pembunuhan ini serta membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan.” — AFP

Advertisement