Anda di sini

Keldai akaun didenda RM500

Advertisement
 

KUCHING: Padah memiliki sejumlah wang RM400 secara tidak sah di dalam akaun bank miliknya, seorang juruwang wanita dijatuhi hukuman denda RM500 atau sepuluh hari penjara di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Jawai Gindi, 32, mengaku bersalah apabila didakwa di hadapan Majistret Zaiton Anuar mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penalti, penjara selama tiga bulan dan denda RM500 jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memiliki wang RM400 secara tidak sah di sebuah bank di Jalan Satok di sini pada 8 Mac 2018, sekitar jam 2.44 petang. 

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan susulan seorang lelaki (pengadu) membuat laporan polis kerana berasa dirinya ditipu apabila dia membuat pinjaman wang secara dalam talian daripada sebuah syarikat.

Bagi mengurus proses membuat pinjaman, ejen syarikat mengarahkan pengadu untuk memasukkan wang RM400 ke dalam akaun bank atas nama tertuduh. 

Pembayaran telah dibuat, namun ejen berkenaan sekali lagi mengarahkan pengadu untuk membuat pembayaran berjumlah RM800, membuatkan pengadu curiga dan berasa ditipu.

Laporan polis dibuat dan hasil siasatan mendapati tertuduh sebagai pemilik akaun bank tersebut telah menjual kad ATM miliknya dan mendapat wang sebanyak RM200.

Akaun tertuduh itu secara tidak langsung telah digunakan untuk tujuan penipuan dalam kes ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

Advertisement