Anda di sini

Astro terus perkasa kualiti pendidikan murid di pedalaman Sabah

Advertisement
 Henry menyampaikan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada Jamain sempena Program Astro Kasih di SK Malinsau.
SUMBANGAN: Henry menyampaikan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada Jamain sempena Program Astro Kasih di SK Malinsau.

Selepas kejayaan membina sebuah asrama di Sekolah Kebangsaan (SK) Malinsau Ranau, Astro giat meneruskan usaha dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak dari kawasan pedalaman khususnya di negeri ini.

Menyedari cabaran besar yang dihadapi ramai dalam kalangan anak-anak Sabah untuk ke sekolah, syarikat penyiaran swasta   itu melaksanakan Program Astro Kasih bagi menyediakan bantuan keperluan sekolah murid di SK Malinsau.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Henry Tan berkata, seramai 264 murid SK Malinsau menerima sumbangan peralatan sekolah termasuk beg, buku dan alat tulis sempena dengan Program Astro Kasih.

Katanya, sejak asrama sekolah berkenaan siap dibina pada 2013, pihak Astro sering kali membuat lawatan dan mendapatkan perkembangan terkini prestasi sekolah yang menerima bantuan.

Bagaimanapun beliau berkata, berikutan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lepas, pihaknya tidak dapat melaksanakan sebarang aktiviti berkaitan di sekolah yang terlibat.

Sehubungan itu jelasnya, lawatan dan program kali ini dibuat bagi memastikan semua sumbangan hasil kutipan yang berjaya dikumpulkan sempena Program 'Walk for Education' yang dilaksanakan di Putrajaya pada Mei lepas.

Menurutnya, Program 'Walk for Education' bertujuan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai cabaran yang dihadapi murid di kawasan pedalaman demi menuntut ilmu.

Selain itu katanya, kempen berkenaan juga sebagai sokongan kepada murid yang berjalan setiap hari ke sekolah kira-kira lebih lima kilometer dengan mengambil masa hampir dua jam.

Henry berkata, lebih 2,000 peserta berjalan sejauh lima kilometer yang mana setiap peserta digalakkan membawa beg yang mengandungi peralatan sekolah bagi merasai pengalaman sebagaimana cabaran murid-murid di pedalaman.

 Murid-murid dan warga SK Malinsau merakamkan kenangan bersama Henry dan wakil Astro di hadapan asrama SK Malinsau.
ASRAMA: Murid-murid dan warga SK Malinsau merakamkan kenangan bersama Henry dan wakil Astro di hadapan asrama SK Malinsau.

"Sempena dengan Program Astro Kasih, sejumlah RM140,000 hasil kutipan dana disediakan bersama sumbangan peralatan sekolah diberikan kepada tiga sekolah termasuk SK Malinsau, SK Magandai Kota Marudu dan SK Sungai Paku Kapit Sarawak.

"Usaha ini membuktikan komitmen Astro dalam membantu murid yang kurang berkemampuan untuk mendapat akses pendidikan yang berkualiti.

"Kita juga meneruskan kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengenal pasti kawasan dan komuniti yang memerlukan bantuan dari sektor pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Borneo selepas majlis penyampaian bantuan beg sekolah dan lawatan ke asrama SK Malinsau Ranau Jumaat lepas.

 Murid SK Malinsau menyampaikan persembahan nyanyian lagu Destinasi.
PERSEMBAHAN: Murid SK Malinsau menyampaikan persembahan nyanyian lagu Destinasi.

Henry berkata, hasil kerjasama itu, KPM menyalurkan maklumat berdasarkan kepakaran mereka untuk mencari kawasan sekolah yang menepati kriteria yang diperlukan.

Dalam pada itu katanya, sehingga kini, pihak sekolah dan komuniti yang terlibat memberikan maklum balas begitu baik serta menggalakkan dengan bantuan yang disediakan pihak Astro.

"Kami amat bangga kerana dapat memainkan peranan dalam membantu sekolah-sekolah yang memerlukan kerana kami percaya pendidikan mampu membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat.

"Keutamaan Astro adalah untuk memberi akses kepada kualiti pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak di kawasan pedalaman," jelasnya.

Sementara itu, Guru Besar SK Malinsau Jamain Abd Halim berkata, sumbangan Astro sebanyak RM40,000 menerusi Program Astro Kasih itu akan diberi keutamaan kepada pembangunan keperluan asas murid SK Malinsau.

Pihaknya turut melihat kepada keperluan untuk membina kelas yang lebih ceria dan menarik bagi memudahkan para murid mencapai tahap pendidikanlebih baik.

"Harapan kami, dengan adanya sumbangan pihak Astro ini, ia dapat menghasilkan murid yang berketrampilan serta berpotensi untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

"Sumbangan ini juga menjadi motivasi serta menyuntik semangat  kepada para ibu bapa dan warga SK Malinsau untuk meningkatkan tahap prestasi pendidikan," katanya.

Beliau berkata, seramai 119 murid ditempatkan di asrama bagi memudahkan mereka untuk hadir ke sekolah berikutan jarak rumah mereka yang jauh dari sekolah.

Menurutnya, sejak asrama berkenaan dibina, prestasi kehadiran murid ke sekolah semakin meningkat baik malah ia sekali gus membantu murid untuk lebih fokus dalam pelajaran.

Katanya, ia membuktikan usaha dan bantuan pihak Astro membuahkan hasil dalam membantu prestasi cemerlang anak-anak di sekolah berkenaan.

 Welter (depan kanan) bersama rakan-rakannya yang menghuni asrama gembira selepas menerima bantuan peralatan sekolah dari Astro.
GEMBIRA: Welter (depan kanan) bersama rakan-rakannya yang menghuni asrama gembira selepas menerima bantuan peralatan sekolah dari Astro.

Welter Semudin, 12, yang tinggal di asrama sejak dari Tahun Tiga begitu gembira selepas menerima bantuan peralatan sekolah dari Astro.

Katanya, perjalanan dari rumah menuju ke sekolah sekitar satu jam lebih memerlukannya untuk bergerak seawal jam 5 pagi ke sekolah.

Namun sejak tinggal di asrama, kepenatan berjalan kaki tidak lagi menjadi cabaran untuknya ke sekolah.

Bagi Alleysia Saidin, 12, banyak kelebihan apabila tinggal di asrama kerana ia memudahkannya untuk mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan yang lain.

Anak ketiga daripada lima beradik ini bercita-cita menjadi guru dan mahu mengubah kehidupan keluarganya dengan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
 

  • oleh
  • Advertisement