Anda di sini

Aroma

Advertisement
 


Oleh Lokman Hakim

HUJAN turun tidak henti-henti. Air yang mengalir di longkang begitu deras. Dia tetap sabar berdiri di bucu sebuah bangunan terbiar. Memerhatikan sekitarnya dengan teliti. Menikmati bunyi air yang berlainan apabila bertembung dengan sesuatu. Bunyi air yang memukul genting tidak sama dengan bunyi air yang memukul aspal. Telinganya begitu peka. Mengasingkan satu-persatu bunyi dan memahami bagaimana ia terhasil itulah kepakarannya. 
     Malam ini, dia tahu ada seseorang akan muncul dan menawarkan sesuatu kepadanya. Hujan adalah kendera orang itu. Dia menanti kelibat seseorang yang memakai baju hujan serba hitam. Orang itu, yang masih tidak diketahui identitinya menjual sesuatu yang begitu sukar diperolehi pada waktu ini. Bahkan ia sudah diharamkan akibat kontroversi yang mengiringinya.
     Dia menanti dengan sabar. Mengamati bunyi tapak kaki yang tenggelam ditelan kebingitan rintik air yang memukul bongkah-bongkah konkrit yang memenuhi persekitaran. Dia tahu orang itu kian hampir. Bahkan aroma Dekad Gembira yang mengiringi penjual itu semerbak harumnya. Dapat dicium biarpun botol kecil yang menyimpan aroma itu ditutup ketat. Seperti telinganya, hidungnya juga begitu sensitif. Atas sebab itulah dia dilantik untuk berunding dengan orang itu. 
     “Dapatkan sebanyak mungkin bekalan Dekad Gembira itu. Gunakan kekerasan jika perlu.”
     Dia mengeluh. Dia tidak mahu merompak peniaga aroma itu. Entah apa lagi rahsia yang disimpan orang itu hingga membuatkannya mampu mencerap haruman seumpama itu dan meniagakannya. Sukar dipercayai, manusia kini merindui waktu silam yang tidak dirakamkan dengan tulisan. Kini, haruman yang diniagakan itu ibarat laluan untuk mereka kembali ke zaman itu. 
     Sesungguhnya, dia juga merindui dekad gembira itu. Ketika itulah politikus benar-benar bekerja untuk rakyat. Projek demi projek dijalankan demi memudahkan masyarakat dan bukan sekadar menguntungkan segelintir pemodal. Dengan kejatuhan parti politik itu, segala-galanya berubah drastik. Apa-apa yang dinukilkan pengarang abad lalu mengenai distopia kini melanda. Tiada kebahagiaan sama sekali.
     Dia menggigil. Segera digenggam penumbuknya. Dengan harapan kedinginan tidak terus-menerus menyerap hingga ke tulang. Semakin lama hujan kian lebat dengan deru angin yang menakutkan. Namun terdapat sesuatu yang menghalang ia menjadi ribut. Dia tahu teknologi itu sedang menyeruak dan menangkis terpa ribut yang sering melanda tembok persempadanan kota itu.
     “Cukupkah wangnya?”
     Suara yang membersit membuatkan dia berpaling. Kelibat itu sudah berdiri di belakangnya pada suatu jarak yang agak selamat. Suara yang didengarnya itu juga bukanlah terpersil begitu sahaja. Ia singgah persis dengung sayap nyamuk; lantang hanya di cuping telinga. Dia mengangguk.
     Perlahan-lahan orang itu melangkah. Perasaan aneh melihat langkahnya, kerana ia persis gerak mengundur. Dia tahu, orang itu memang pintar bermain silap mata. Helahnya mempesona dan menakutkan pada waktu yang sama. Dia sudah bersedia. Dia akan membeli kesemua stok pewangi Dekad Gembira lalu terus kembali pada majikannya secepat mungkin. Dia menghela nafas panjang. Malam ini dirasakan begitu lama. Hujan barangkali membekukan waktu.
     “Masih takut-takut, ya? Usah risau. Semuanya akan selesai sedetik cuma.”
     Sedar tak sedar, ikatan wang yang begitu banyak di dalam jaket sudah ditukar dengan bungkusan berisi pewangi. Entah bilakah orang itu menukarnya, tidaklah dia tahu. Namun, dengan risiko dan pertuduhan yang boleh disabitkan akibat memiliki Dekad Gembira, pastinya mendesak penjualnya untuk memiliki skil luar biasa.
     Selesai pertukaran berlaku, orang itu segera beransur. Laju sahaja langkahnya tanpa membentuk lopak pada muka jalan yang dipenuhi air. Dalam sepintas waktu sahaja, tubuhnya ghaib ditelan rintik-rintik hujan yang tidak mahu reda.
     Dia cuba mengingati suara orang itu. Dejavu barangkali, tetapi dia pasti dia pernah mendengar suara itu. Seraya itulah dia teringat akan seorang penjual roti di sebuah kedai bakeri di tengah kota. Seorang pemuda bernama Jose. Ya, suara orang ini mirip Jose. 
     Apa-apa pun, dia harus pantas menghantar Dekad Gembira kepada majikannya. Dia tidak mahu mengambil risiko menyimpan pewangi itu lama-lama. Pasti dirinya akan dijadikan sasaran pihak-pihak berkepentingan dan punya kuasa dalam tampuk pemerintahan.
     Perlahan-lahan nama Jose hilang daripada ingatannya akibat ditenggelamkan ketakutan dan kerisauan yang tidak sudah-sudah.

2.
     “Kau dapat hidu harumnya, O?”
     “Ya, ia menjentik beberapa ingatan yang... sudah lama hilang.”
     “Bagaimana kalau aku kata, ia mungkin memori palsu?”
    “Macamlah kemungkinan itu memberi apa-apa makna.”

     Namanya O. Dia tidak tahu apakah tindakannya mendapatkan pewangi Dekad Gembira daripada maestro hujan itu berbaloi atau tidak. Seingatnya, sepanjang perjalanan itu, dia diburu. Hal-hal sebegini lebih pantas dihidu para pemburu upahan dan mereka jauh lebih bahaya jika hendak dibandingkan dengan polis. Mereka tidak akan teragak-agak mahu membunuh jika perlu. 
     Dia mempertaruhkan nyawanya hanya untuk tuannya ini. Seorang aristokrat yang gemar bernostalgia dan sentiasa menyembunyikan identitinya. Ah, O tidak peduli akan semua itu. Hubungan mereka harus disorokkan sehabis mungkin. Apa yang penting adalah ganjarannya begitu lumayan. Apa yang tidak boleh dibeli dengan wang pada waktu ini? Hampir tiada.
     “Setelah dekad gembira berlalu, apa yang tinggal hanyalah masyarakat dungu yang tidak melawan walaupun hak mereka dirampas terang-terangan. Ajaibnya, tiada siapa tahu bagaimana ia bermula. Tiada rusuhan. Tiada kudeta. Tiada apa-apa.”
     “Tidak benar. Polisi demi polisi yang diperkenalkan diselangi propaganda amat jelas permainannya. Ia permainan orang seperti kau.”
    “Jadi kau juga nampak semua itu, biarpun tidak menghidu aroma Dekad Gembira ini?”
    “Pengharaman haruman itu juga suatu propaganda. Sebahagian daripada permainan besar yang mahu memastikan tiada penentangan berlaku di kota ini.”
     Aristokrat itu ketawa. Entah apa yang menghiburkannya itu tidaklah jelas. Jarak antara mereka agak jauh. Dewan yang menempatkan mereka itu menghadirkan suatu rasa kosong yang teramat dalam jiwa O. Sepertimana ketika dia melihat maestro hujan melangkah ke arahnya. Suatu rasa nihil yang sering mendesaknya agar menamatkan riwayatnya sendiri di kota pengap ini.
     “Kau terlalu percaya semua itu propaganda ya, O? Tidak ubah seperti sekumpulan manusia yang percaya hidup ini dipenuhi konspirasi yang akhirnya memakan takdirnya sendiri. Jangan jadi bodoh, O. Fikir. Nah, ambil sebotol Dekad Gembira dan hirup puas-puas. Biar berkembang otak tu.”
     Botol kecil sebesar tapak tangan itu dibaling begitu sahaja. Tangkas O menyambar. Tanpa teragak-agak, dia memulas gabus penutup botol. Seraya itulah aroma yang sebelum ini sipi-sipi menjengah ruang hidungnya menyeruak harum. Kuat benar aromanya. Dia berasa segar serta-merta. Lalu suatu rasa girang meledak. Kebebasan yang selama ini diperap dan ditekan ke dasar kini meronta-ronta.
     “Bagaimana? Ada sedikit pencerahan?”
     Ketika itu, O tidak lagi rasa aristokrat itu wajar dihormati. Mengapa harus menghormati seseorang yang memperlekehkannya selama ini? Jiwa yang dibelenggu suasana perhambaan yang disuguhkan golongan aristokrat seperti itulah yang membuatkan kota ini pengap dan tidak lagi bernyawa. Ia menjelaskan juga mengapa aroma itu diharamkan.
     “O? Kau... okey?”
     Perlahan-lahan O merapati aristokrat yang berada 100 meter di hadapannya. Aristokrat itu mula risau. O sudah melanggar peraturan yang sepatutnya sudah sebati pada minda separa sedarnya. Sedikit kesal bertandang di hati aristokrat itu. Dia terlalu cuai.
     “Berhenti, O. Kau tahu jarak itu harus dikekalkan bukan?”
     Sepertimana maestro hujan, gerak O berubah menjadi sangat pantas dan begitu senyap. Sebaik sahaja aristokrat itu menghabiskan ayatnya, O sudah beransur ke belakang majikannya itu. Perlahan-lahan dia menghela nafas. Bergetar cuping telinga aristokrat itu dibuatnya. Bulu romanya meremang.
     “Ini revolusi!” tempik O. Keras.
     Tanpa berfikir panjang, O merodok perut aristokrat itu dengan sebilah belati yang tersemat kemas selama ini di pinggangnya. Terbeliak mata aristokrat itu menahan kesakitan sebelum rebah ke lantai. Darah memancur. O tunduk lalu mengeluarkan baki botol-botol pewangi Dekad Gembira di dalam jaket labuh aristokrat tersebut.
     “Kau... khianati aku...” suara aristokrat itu bergetar, pedih menyulaminya.
     “Jangan bermain kunci sangkar harimau jika tidak tahu buasnya harimau.”
     O menyeringai. Hatinya puas. Dia tahu, waktunya sudah tiba untuk masyarakat kota itu disedarkan daripada perhambaan halus yang mematikan keinginan manusiawi mereka. Dan aristokrat itu ialah korban pertama. Korban rasa ingin tahu dirinya sendiri yang tidak terbendung.

 

3.
     Jose mengintai dari balik tingkap, memerhati kehancuran demi kehancuran berlaku. Rusuhan tidak pernah menjadi ganas sebegini. Ia hanya pernah berlaku sebelum dekad gembira dicapai. Barangkali sudah ketentuannya dekad gembira harus dimulakan dengan rusuhan. Tirani harus dijatuhkan dan digantikan dengan pemimpin yang kenal nadi penderitaan rakyat. 
     Dia meraup wajahnya. Dia tidak menyangka aroma Dekad Gembira yang didagangkannya itu mampu mengubah manusia jadi ganas. Seingatnya, dekad gembira yang menjadikan negaranya itu sebuah negara makmur itu hanya dipenuhi manusia berkaliber dan sentiasa memberikan dunia sesuatu yang bermanfaat. Tiada kedukaan. Tiada penindasan sama sekali. Utopia.
     Namun, utopia hanya sebuah topeng yang menyimpan kengerian di sebalik kedamaian yang dipupuk itu. Perlahan-lahan kehodohan pemimpin dipertontonkan tanpa ada sesiapa mampu menanganinya. Pemimpin-pemimpin adil mula digantikan tirani licik yang menghapuskan sesiapa yang cuba menghalangnya. 

     Kini, aroma Dekad Gembira yang menyimpan haruman keindahan waktu silam itu membangkitkan semangat juang menentang tirani waktu ini. Kesal apabila difikirkan.
     Tiba-tiba kedengaran bunyi cermin tingkap pecah. Pekikan saling bertingkah dengan bunyi tapak kaki yang pantas tersebar ke setiap sudut rumahnya yang lengang itu. Dia menggeletar ketakutan. Entah apa pula yang diinginkan penceroboh itu, tidaklah dia tahu.
     Dia sedar, dia harus menjadi maestro hujan itu lagi. Malangnya, hujan belum turun. Keyakinannya untuk melepasi halangan ini juga tiada. Dia tidak punya semangat juang untuk menentang kesalahannya sendiri. Dosa itu menjadi beban dan bukannya pembakar semangat.
     Pintu biliknya yang dikunci ditendang kasar. Melayang pintu hingga nyaris mengena tepat ke badannya. Jose mengundur ke bucu dinding. Muncung-muncung senapang automatik menjengah lalu dalam waktu sejenak itu dia dikepung.
     “Jangan tembak! Jangan tembak! Aku menyerah!”
     Dalam masa sejenak itu, Jose digari dan dipaksa keluar dari rumah lalu disuruh menaiki lori-lori yang penuh dengan tahanan sepertinya. Entah ke mana pula mereka akan dihantar, tidaklah Jose tahu.
     Perlahan-lahan hujan turun. Ia bermula dengan gerimis yang kian melebat. Dalam waktu yang sama, aroma Dekad Gembira yang suatu ketikanya dahulu janggal kini menyeruak ke persekitaran dan menjadi haruman yang sebati dengan rakyat. Jose menyeringai dalam kelam dan asak-asak tahanan yang begitu tengik.
‘Aku takkan tewas,’ bisiknya sendiri.

4.
     O tidak tahu berapa lama lagi darurat harus berlanjutan. Tidakkah biasanya akan ada sekumpulan pemimpin baharu yang lantang dan berhasil meraih sokongan masyarakat selepas sesebuah kerajaan itu jatuh? Namun begitu, dalam situasi ini, tiada sesiapapun mahu mara ke hadapan dan mengendalikan urusan pentadbiran.
     Tentera kini mengendalikan urusan pentadbiran di bawah pimpinan seorang jeneral yang juga tidak berniat mahu merampas kuasa. Setakat ini, langkah yang dipraktikkan hanya sekadar memastikan rusuhan tidak berulangan. Keamanan cuba dipertahankan berdasarkan sistem pentadbiran terdahulu. Menteri-menteri baharu dilantik melalui pertimbangan pihak tentera dan dikawal rapi sambil masing-masing mengendalikan urusan pentadbiran yang sudah pincang.
     Hal seumpama itu tidak disenangi O. Dia membayangkan Dekad Gembira akan berjaya dikembalikan seperti waktu lalu. Jelas telahannya silap. Dia tidak mahu berkurung begitu sahaja. Dia mahu berjalan ke setiap tempat tanpa sebarang kerisauan seperti ini. Ke mana perginya setiap negarawan suatu ketika dahulu? Adakah mereka semua terkorban di tangan tirani?
     Hujan mula turun. Dia teringat pada maestro hujan suatu ketika dahulu. Entah ke mana perginya orang itu, entah hidup atau tidak. Haruman Dekad Gembira yang begitu sulit diperoleh kini semerbak berlegaran di udara, tetapi ia tidak lagi menggembirakan. 
     Dalam fikiran O, dia membayangkan seseorang menjual aroma waktu silam sebelum kejatuhan tirani. Adakah ia ada beza dengan haruman sekarang? Dalam keadaan kusut itu, dia membuat keputusan untuk keluar dari rumah dan menanti maestro hujan seperti dahulu. Dalam jaket panjang merangkap baju hujan tersemat ikatan wang yang digulung kemas. Ia jumlah yang mencukupi untuk membeli aroma Dekad Gembira tetapi kini dia tidak pasti adakah ia mampu membeli aroma baharu.
     Guruh berdentuman. Begitu galak. O menanti dan membiarkan hujan membasahinya. Air kian deras mengalir dan hampir-hampir menenggelamkan kasutnya. Dia tidak peduli semua itu. Dia memerhatikan persekitaran, mencari kelibat seseorang yang bergerak seperti mengundur. Dalam khayalannya, dia mendengar bunyi derap kaki memijak lopak hujan.
     Hujan kian lebat dan deru angin kian kencang. O terus menanti maestro hujan yang jelas benar tidak akan muncul sampai bila-bila. Namun O percaya pada keajaiban. Maestro hujan sentiasa bermain magis. Tidak mustahil dia akan muncul dan menyelamatkan petaka yang melanda dunia ini. 
     Keyakinan ialah kata kuncinya. O tersenyum. Dingin begitu menggigit. Tubuhnya menggeletar menahan kesejukan. Pneumonia.

 
 
Advertisement