Anda di sini

Rusia nafi serang pelabuhan Ukraine selepas perjanjian mengenai bijirin

Advertisement
 

ANKARA: Rusia “tiada kaitan" dengan serangan ke atas pelabuhan Odesa di Ukraine, kata Menteri Pertahanan Turki Hulusi Akar pada Sabtu.

"Pihak berkuasa Rusia memaklumkan bahawa mereka tidak terlibat dalam serangan ini serta mereka sedang meneliti isu itu dengan terperinci.

“Hakikatnya kejadian itu membimbangkan kami kerana ia berlaku sejurus selepas perjanjian penghantaran bijirin dipersetujui semalam," katanya dalam satu kenyataan lapor Xinhua memetik Agensi Anadolu.

Akar turut bercakap dengan menteri Ukraine menerusi telefon dan menerima maklumat berhubung kejadian itu.

Tentera Ukraine mendakwa peluru berpandu Rusia membedil infrastruktur di Odesa pada Sabtu yang mengenai satu daripada tempat penyimpanan (silo) dan kawasan berhampiran. 

Serangan itu tidak menjejaskan operasi pelabuhan, pengangkutan kargo dan eksport bijirin berjalan seperti biasa, menurut Akar.

Beliau berkata Türkiye telah menghantar mesej kepada kedua-dua negara, dan mahu melihat kedua-dua negara meneruskan kerjasama "dalam situasi aman dan damai" di bawah perjanjian yang ditandatangani pada Jumaat. 

Türkiye akan terus menunaikan tanggungjawabnya seperti termaktub dalam perjanjian itu, katanya. 

Inisiatif Bijirin Laut Hitam, yang ditandatangani Rusia dan Ukraine pada Jumaat dengan Türkiye di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Istanbul, akan membenarkan sejumlah besar eksport makanan komersial dan baja dari tiga pelabuhan utama di Laut Hitam -- Odesa, Chernomorsk, dan Yuzhny, menurut PBB dalam satu kenyataan menerusi laman sesawangnya.

Pusat penyelarasan bersama telah mula beroperasi berdasarkan perjanjian bagi memantau pelaksanaan.

Menurut salinan perjanjian yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Andrii Sybiha perjanjian itu akan berkuat kuasa selama 120 hari dan boleh dilanjutkan selama 120 hari lagi jika tiada pihak yang menamatkan perjanjian.

Ukraine adalah antara pengeksport bijirin terkemuka dunia, membekalkan lebih 45 juta tan setiap tahun ke pasaran global, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB. - BERNAMA
 

Advertisement