Anda di sini

Seruan agar Trump didakwa semakin lantang

Advertisement

WASHINGTON: Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) Merrick Garland membuat kenyataan kelmarin di ambang seruan oleh beberapa ahli Demokrat yang menuntut bekas presiden Donald Trump didakwa kerana rusuhan berdarah di Capitol, serta menegaskan tiada sesiapa boleh melebihi undang-undang.

"Ini merupakan siasatan yang paling meluas dan amat penting yang pernah dilakukan oleh Jabatan Kehakiman," kata Garland kepada wartawan mengenai siasatan terhadap serangan pada 6 Januari 2021 terhadap Kongres oleh para penyokong Trump.

"Dan kami telah melakukannya dalam usaha untuk memperkasa pilihan raya yang sah iaitu  memindahkan kuasa daripada satu pentadbiran ke pentadbiran yang lain, sekali gus mengamalkan dasar demokrasi Amerika," kata Garland.

"Kita perlu melaksanakan perkara ini dengan betul. Kita harus mengenal pasti setiap orang yang bertanggungjawab ke atas jenayah ini kerana cuba membatalkan pilihan raya yang sah," tegasnya.

Trump bersama isterinya Melania dan anak mereka Barron keluar dari Gereja Roman Katolik St Vincent Ferrer di Kota New York, kelmarin selepas upacara pengebumian bekas isterinya Ivana yang meninggal dunia pada usia 73 tahun selepas terjatuh dari tangga di rumahnya di Manhattan baru-baru ini. - Gambar AFP
Trump bersama isterinya Melania dan anak mereka Barron keluar dari Gereja Roman Katolik St Vincent Ferrer di Kota New York, kelmarin selepas upacara pengebumian bekas isterinya Ivana yang meninggal dunia pada usia 73 tahun selepas terjatuh dari tangga di rumahnya di Manhattan baru-baru ini. - Gambar AFP

Ditanya sama ada situasi itu juga berkuat kuasa ke atas bekas presiden, Garland berkata: "Tiada sesiapa yang lebih tinggi daripada undang-undang di negara ini."

"Tiada apa-apa dalam prinsip pendakwaan terdapat faktor yang menghalang kami daripada menyiasat sesiapa sahaja yang bertanggungjawab ke atas jenayah atas percubaan untuk membatalkan pilihan raya demokratik," katanya.

Lebih 850 orang telah ditangkap susulan serangan itu yang berlaku selepas Trump menyampaikan ucapan berbaur hasutan kepada penyokongnya berhampiran Rumah Putih dengan membuat dakwaan palsu bahawa pilihan raya itu telah 'dicuri'.

Kebanyakan mereka telah didakwa kerana berusaha untuk menghalang prosiding rasmi pengisytiharan oleh Kongres ke atas kemenangan pilihan raya Demokrat Joe Biden.

Trump, 76, yang telah berulang kali memberi bayangan bahawa dia mungkin mencalonkan dirinya untuk Rumah Putih sekali lagi pada 2024, telah didakwa untuk kali kedua oleh Dewan selepas rusuhan Capitol di mana dia didakwa menghasut pemberontakan, tetapi dibebaskan oleh Senat.

Jawatankuasa Dewan terpilih yang menjalankan siasatan terhadap rusuhan Capitol akan mengadakan pendengaran kelapan dan terakhir semalam dan merancang untuk membuat pemeriksaan terperinci mengenai tindakan Trump pada 6 Januari. – AFP

Advertisement