Anda di sini

Dua pingat emas dirangkul di Maldives hadiah untuk Hari Sarawak: Buda

Advertisement
Buda (kiri) bergambar bersama Gabungan Orang Asal Sabah Sarawak yang membuat kejutan menyambut ketibaanya di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuching hari ini. Turut kelihatan, Philomena (kanan). - Gambar Muhamad Rais Sanusi
Buda (kiri) bergambar bersama Gabungan Orang Asal Sabah Sarawak yang membuat kejutan menyambut ketibaanya di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuching hari ini. Turut kelihatan, Philomena (kanan). - Gambar Muhamad Rais Sanusi

KUCHING: Jaguh bina badan Sarawak Buda Anchah menyifatkan dua pingat emas yang dirangkulnya pada Kejuaraan Bina Badan dan Sukan Fizikal Asia Kali Ke-54 di Republik Maldives baru-baru ini sebagai hadiah untuk Sarawak.

Atlet berbadan sasa itu menjelaskan, kemenangan itu merupakan kenangan manis buat dirinya serta pasukan.

"Saya membawa pingat emas ini dan saya hadiahkan pingat ini pada hari yang sangat istimewa hari ini iaitu Hari Sarawak.

"Saya bawa kemenangan ini dan ia khas untuk Hari Sarawak," ujarnya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, hari ini.

Justeru, Buda menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pihak terlibat yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada beliau untuk mencapai kejayaan terbabit.

"Terima kasih kepada Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Snowdan Lawan.

"Selain itu, terima kasih juga kepada Presiden Persatuan Bina Badan Sarawak Dato Wee Hong Seng, Perbadanan Sukan Sarawak dan Persatuan Bina Badan Negeri Sarawak yang memberi sokongan yang amat bermakna," katanya.

Pada kejuaraan itu, Buda merangkul pingat emas dalam dua acara iaitu kategori 65 kilogram (kg) dan kategori masters (50-60 tahun dengan berat sehingga 80kg).

Ketibaan Buda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bersama atlet wanita iaitu Philomena Dexclyn Siar disambut meriah oleh penyokongnya.

Keadaan di lapangan terbang bertambah meriah apabila ketibaan kedua-dua atlet itu disambut oleh Gabungan Orang Asal Sabah Sarawak seramai 35 orang diketuai oleh Presidennya Peter John Jaban.

Dalam pada itu, Buda berkata beliau akan berehat selama dua minggu selepas ini sebelum meneruskan persediaan untuk kejohanan seterusnya.

"Kejohanan seterusnya ialah kejohanan dunia ke-13 dari 6 hingga 12 Disember ini iaitu di Phuket, Thailand.

"Latihan akan diteruskan selepas berehat selama dua minggu untuk mempersiapkan diri bagi kejohanan berkenaan," jelasnya.

Sementara itu, Wee ketika ditemui berkata pingat yang diperolehi pada kejuaraan itu iaitu dua emas dan dua perak serta kebolehan atlet wanita dari Sarawak merupakan kebanggaan khasnya kepada rakyat Sarawak.

"Saya sebagai presiden berasa bangga dengan kemenangan yang diperolehi oleh atlet Sarawak bukan sahaja untuk (kejohanan) sekarang, malah pada kejuaraan-kejuaraan sebelumnya," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement