Anda di sini

13 hilang feri karam di Indonesia

Advertisement
Gambar serahan SAR Inonesia (BASARNAS) kelmarin menunjukkan anggota penyelamat melancarkan operasi mencari mangsa terselamat selepas sebuah feri karam akibat cuaca buruk di perairan pulau Ternate. — Gambar AFP
Gambar serahan SAR Inonesia (BASARNAS) kelmarin menunjukkan anggota penyelamat melancarkan operasi mencari mangsa terselamat selepas sebuah feri karam akibat cuaca buruk di perairan pulau Ternate. — Gambar AFP

JAKARTA: Ramai diselamatkan selepas feri mereka karam akibat cuaca buruk di luar pantai pulau Indonesia, namun 13 yang lain masih hilang, kata seorang pegawai pencari dan penyelamat kelmarin. 

KM Cahaya Arafah, yang membawa 77 penumpang dan kru di atas kapal, terbalik di perairan pulau Ternate Indonesia pada petang Isnin, ketika ia belayar menuju ke pulau Halmahera yang berdekatan.

Penduduk tempatan belayar keluar dengan bot mereka untuk membantu pihak berkuasa dalam operasi mencari dan menyelamat.

“Enam puluh empat mangsa yang terselamat telah dipindahkan ke kampung Tokaka (berhampiran lokasi kemalangan) selepas penduduk kampung melihat mereka berenang ke pantai,” kata Fathur Rahman, ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan.

Setakat jam 3.30 petang waktu tempatan, pihak berkuasa masih mencari 13 penumpang, tambah Rahman.

Kemalangan marin merupakan perkara biasa di Indonesia, kepulauan Asia Tenggara yang memiliki sekitar 17,000 pulau, di mana penduduk bergantung pada feri dan bot kecil untuk melakukan perjalanan sungguhpun tidak memenuhi piawai keselamatan.

Pada Mei, sebuah feri yang membawa lebih 800 orang terdampar di perairan cetek di wilayah Nusa Tenggara dan terperangkap selama dua hari sebelum dapat berangkat. Tidak ada yang tercedara dalam malapetaka itu.

Pada 2018, lebih 150 orang mati lemas apabila sebuah feri tenggelam di salah sebuah tasik paling dalam dunia di pulau Sumatera. — AFP
 

Advertisement