Anda di sini

Rusia denda Google AS$360 juta kerana kandungan perang Ukraine

Advertisement
 


MOSCOW: Mahkamah Moscow telah mengenakan denda ke atas Google yang berjumlah 21 bilion rubel (AS$360 juta) kerana gagal membuang kandungan mengenai campur tangan ketenteraan Rusia di Ukraine, kata pengawal selia telekomunikasi negara itu kelmarin.

Roskomnadzor berkata, platform video milik Google YouTube telah gagal menyekat “maklumat palsu” mengenai serangan di Ukraine, “propaganda ekstremis dan pengganas” dan kandungan yang “mendorong kanak-kanak di bawah umur untuk mengambil bahagian dalam demonstrasi haram”.

Pengawal selia berkata, ini merupakan sabitan berulang bagi Google dan denda itu berdasarkan pendapatan tahunan syarikat tersebut di Rusia.

Pihak berkuasa Rusia telah meningkatkan tekanan mereka terhadap firma media sosial Barat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan denda dan ancaman berulang dalam usaha untuk menghapuskan kritikan dalam Internet, salah satu platform terakhir untuk kebebasan bersuara di Rusia.

Seperti kebanyakan pesaing Baratnya, Google baru-baru ini menarik diri dari pasaran Rusia untuk mengecam campur tangan ketenteraan Rusia di Ukraine.

Menurut Vladimir Zykov, seorang pakar yang dipetik oleh agensi berita Rusia, Ria-Novosti, ini merupakan denda yang terbanyak yang pernah dikenakan ke atas firma teknologi Barat oleh mahkamah Rusia.

Pihak berkuasa Rusia boleh mengenakan Google “seberapa banyak denda yang mereka mahu, namun tidak akan menerima wang itu” kerana firma itu telah menarik diri dari negara itu, jelasnya. — AFP
 

Advertisement