Anda di sini

Pisang goreng Said Best popular di Desa Pabahanan

Advertisement

LIMBANG: Orang ramai sanggup beratur panjang, mahupun menunggu dalam kenderaan demi mendapatkan pisang goreng rangup ‘berhantu'  Said Best, di gerai milik Armah Usop di Desa Pabahanan dekat sini.

Ada pelanggan setia yang sanggup datang awal walaupun gerai tepi jalan itu baharu dibuka jam 2 petang.

Kerangupan pisang goreng yang tahan hingga ke malam itu menyebabkan gerai berkenaan sentiasa diserbu pelanggan.

Apa yang membawa kelainan kepada gerai ini adalah pelanggan yang datang membeli pisang goreng Said Best sentiasa penuh dan sanggup terpaksa beratur panjang sejauh 40 meter semata-mata enggan ‘kempunan’ untuk membeli dan menikmatinya. 

Seorang pelanggan setia pisang goreng rangup Said Best Haiyati Tahir, 43, dari Kampung Buangsiol berkata beliau sanggup meredah cuaca panas bermotosikal demi mendapatkan pisang goreng rangup dan cakoi panas digerai itu.

“Pisang goreng Said Best ini memang lain daripada pisang goreng lain, kerana kerangupannya yang tahan lama walaupun cucur dalam keadaan sejuk. Saya tidak kisah berbaris panjang demi mendapatkan pisang goreng ini, sedap memang berbaloi,” katanya.

Haiyati berkata rasa cucur pisang tersebut memenuhi selera mereka sekeluarga.

“Setiap hari saya akan datang untuk membeli, datang awal sikit,tapi pelanggan memang sudah penuh menyerbu gerai ini,” ujarnya lagi.

Armah (kiri) melayan pelanggan yang datang ke gerainya untuk membeli pisang goreng rangup.
Armah (kiri) melayan pelanggan yang datang ke gerainya untuk membeli pisang goreng rangup.

Pemilik gerai pisang goreng rangup Said Best, Armah Usop, 53, berkata beliau sangat bersyukur apabila menu pisang goreng laris dijual.

Beliau berkata, sambutan pelanggan sungguh luar biasa apabila ada pelanggan yang sanggup beratur seawal jam 1 tengah hari.

“Setiap hari gerai ini sentiasa dipenuhi pelanggan yang datang untuk membeli pisang goreng rangup dan menu lain. Kadang-kadang kita tak menang tangan melayan pelanggan yang sudah menunggu lama, namun mereka semua tetap ‘sporting’ menunggu untuk membeli pisang goreng rangup,” katanya lagi.

Selain pisang goreng, gerainya turut menjual menu lain termasuk ,cakoi, cucur udang, cucur pusu, cucur ubi manis, cucur keladi, cekodok pisang, cucur sukun (ikut musim), kek bulan dan jeli piasau (kelapa).

“Armah berkata pisang goreng rangup Said Best diambil daripada namanya suaminya Said  Matzin, yang merupakan seorang pendidik insan yang banyak membantunya berniaga. Setiap hari saya akan bangun seawal jam 4 pagi menyediakan tepung sebanyak 50 kilogram (kg) hanya untuk  pisang goreng ini saja dan pisang masak 20 kg sehari.

“Untuk cakoi pula saya perlu menyediakan kira-kira 12 kg tepung sehari dan menguli awal sebelum dijadikan doh untuk digoreng,”katanya yang mempunyai pelanggan tetap daripada pelbagai kaum.

Menurutnya paling banyak, pelanggannya akan membelanjakan lebih daripada RM10 untuk membeli pisang goreng rangup.

Beliau dibantu lima orang pekerja terdiri daripada ahli keluarga dan anak-anak yang membantu memasak, menyediakan menu jualan dan melayan pelanggan yang datang.

Armah menjelaskan hasil jualan pisang goreng rangup dan cucur lain di gerainya beliau boleh menjana pendapatan sekitar RM700 sehari.

“Alhamdulillah sambutan berniaga di gerai tepi jalan Desa Pabahanan ini amat diluar jangka, berbanding berniaga di Anjung Usahawan,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu perniagaannya yang diusahakan di Anjung Usahawan Limbang turut merudum susulan ancaman COVID-19 sebelum ini.

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beliau boleh meraih RM500 sehari namun, pendapatan turun mendadak susulan ancaman virus tersebut.

“Ketika COVID-19 melanda dua tahun lalu nak dapatkan RM100 sehari pun susah, perniagaan di Anjung Usahawan memang terjejas,” katanya.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana penat lelah selama berniaga di gerai tepi jalan sejak 2011 membuahkan hasil apabila perniagaannya semakin mendapat tempat di hati pelanggannya.

Katanya pelbagai onak dan duri ditempuh lebih sedekat sepanjang berniaga di gerai tepi jalan itu termasuk bumbung khemahnya ‘terbang’ dan tiang khemah patah dibadai ribut.

“Saya bangkit perlahan-lahan dengan sokongan suami, anak-anak dan ahli keluarga lain kami tekad terus berniaga, menampilkan resipi hasil tangan sendiri,sehingga diterima orang ramai,” katanya.

Gerai pisang goreng rangup Said Best beroperasi setiap hari (kecuali Ahad) menawarkan harga berpatutan.

Pisang goreng dijual dengan harga RM1 (tiga ketul), manakala cucur lain dijual dengan harga RM1 (dua ketul), cakoi kosong RM1 dan cakoi berinti dijual dengan harga RM1.50 sebiji.

  • oleh
  • Advertisement