Anda di sini

Lelaki warga China didakwa terlibat pemerdagangan manusia di Malawi

Advertisement
 


LILONGWE: Seorang warga China yang dituduh atas kesalahan perkauman dan mengeksploitasi kanak-kanak di Malawi telah didakwa dengan pemerdagangan manusia di ibu negara Lilongwe kelmarin, lapor media tempatan.

Lu Ke, 26, ditahan bulan lalu di negara jiran Zambia atas kesalahan kemasukan haram selepas melarikan diri dari Malawi apabila dia dituduh dengan penderaan pula.

Dia didakwa telah merakam kanak-kanak me-nyanyikan lagu perkauman tentang diri mereka dalam bahasa Cina – bahasa yang tidak difahami mereka – dan kemudian menjual video itu di media sosial Cina.

Lu telah dihantar ke Malawi dan dihadapkan ke mahkamah kelmarin di mana dia didakwa atas lima pertuduhan memperdagangkan orang. 

Pendakwa raya negeri berkata, lebih banyak pertuduhan bakal dikenakan apabila siasatan selesai dalam dua minggu akan datang.

Majistret Kanan James Mankhwazi menafikan ikat jaminan Lu, bermakna dia akan ditahan selama 15 hari akan datang sementara siasatan dijalankan.

Pendakwa raya menyatakan tertuduh berisiko untuk melarikan diri, tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap dan boleh mengancam saksi yang masih di bawah umur.

“Kami membantah permohonan ikat jamin tertuduh kerana dia berisiko melarikan seperti yang dibuktikan dengan melarikan diri ke Zambia,” kata pendakwa raya.

Pendakwa raya negeri, Prescott Mwayiulipo juga telah berhujah di mahkamah menentang pembebasan Lu dengan ikat jamin bagi melindunginya daripada orang awam yang marah terhadap video tersebut.

Dia telah menghasilkan video tidak berperikemanusiaan melibatkan kanak-kanak di daerah Lilongwe dan Mchinji, Malawi.

Dalam satu video, seorang kanak-kanak berusia kira-kira sembilan tahun berkata: “Saya raksasa dengan IQ rendah.”

Malawi dan China menjalin hubungan diplomatik sejak 2008, apabila Malawi berpaling kepada China dan mengetepikan Taiwan.

Kedutaan China di Malawi mengecam tindakan tertuduh dalam satu kenyataan bulan lalu, dengan mengatakan “kerajaan China tidak bertolak ansur terhadap perkauman.” — AFP 
 

Advertisement