Anda di sini

Kunang-kunang dan Ombak dalam Jejak Hilang yang Pulang: Analisis Konseptual Kata Kunci

Advertisement
 


Sara Beden 

Pengenalan
Jejak Hilang yang Pulang (JHYP), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2020) yang telah memenangi Hadiah Pertama, Sayembara Menulis Novel Sempena 40 Tahun DBP Cawangan Sarawak merupakan karya Abang Median Abang Said. Novel ini memprojeksikan pergolakan dan rencah hidup menerusi konflik dan permasalahan yang membelenggu manusia akibat perbuatan masa silam sehingga memberikan impak yang besar terhadap kehidupan masa depan seseorang insan. “Sungguh, hubungan yang tidak ada prasangka dan rasa kekok” (Abang Median Abang Said, 2020, hlm.4) menjadi titik tolak yang telah mengubah sejarah kehidupan seorang insan sehingga terputus dan hilang jejak daripada susur galur keluarganya. Novel ini mengheret khalayak pembaca untuk merenung percaturan kehidupan, umpama sebuah teka-teki yang sukar ditemukan jawapannya dan ibarat sebuah lukisan yang penuh warna-warni di atas kanvas. Abang Median Abang Said banyak menggunakan unsur alam semesta atau unsur kosmos yang mengkomunikasikan medan makna bagi menyampaikan mesej kepada khalayak. Justeru, kajian ini bertujuan untuk membincangkan medan makna penggunaan kata kunci kunang-kunang dan ombak yang digunakan oleh Abang Median Abang Said dalam JHYP dengan menggunakan teori Konseptual Kata Kunci yang dipelopori Mohd Mokhtar Abu Hassan (2007). 

Teori Konseptual Kata Kunci
Teori Konseptual Kata Kunci diketengahkan oleh Mohamad Mokhtar Abu Hassan dan mengandungi tiga prinsip utama, iaitu prinsip kepengaruhan, prinsip pemilihan kata dan prinsip kesan. Prinsip pertama ialah kepengaruhan yang berhubung kait dengan pengarang. Mokhtar Abu Hassan (2007) memperjelas bahawa dalam prinsip ini, konsepsi pengarang terhadap sesuatu isu, hal atau perkara sedikit sebanyak dipengaruhi  latar belakang pengarang termasuk keluarga, pendidikan, pekerjaan, masyarakat, budaya, kepercayaan, ideologi dan politik. Prinsip kedua ialah pemilihan kata yang berhubung dengan karya sastera menerusi penggunaan kata-kata yang berada dalam lingkungan dirinya untuk menyatakan konsepsinya terhadap sesuatu perkara, objek dan sebagainya (Mokhtar Abu Hassan, 2007). Prinsip terakhir ialah kesan yang melibatkan khalayak pembaca berkaitan konsepsi pengarang terhadap sesuatu isu, perkara dan pengajaran yang dapat dirasai khalayak pembaca dengan meneliti karya-karya yang dihasilkan oleh pengarang. 

Unsur Kosmos dalam Jejak Pulang yang Hilang 
Nabilah Mohd Nasir, Ghazali Din dan Abdul Razak @ Abdulroya Panaemala (2020) menegaskan bahawa penggunaan unsur kosmos sebagai kata kunci dalam sesebuah karya menunjukkan  pengarang bukan sahaja berjiwa seni dalam berbahasa malahan memiliki kesedaran tentang hubungan manusia dan alam, iaitu bagai isi dan kuku yang memiliki kepentingan antara satu sama lain. Unsur kosmos dikesan melalui penggunaan simbol yang mewakili sesuatu makna atau idea sebenar bukanlah dilakukan secara sesuka hati malahan mempamerkan kelebihan pengarang dalam membuat pengamatan dan perenungan yang tajam terhadap unsur alam. Muhammad Afandi Yahya (1995) menyatakan bahawa simbol yang didapati adalah hasil daripada pengaruh sejarah, kehidupan seharian, kepercayaan agama dan alam sekitar. Dalam konteks penciptaan JHYP, Abang Median Abang Said turut dipengaruhi unsur alam semesta atau kosmos seperti kunang-kunang, ombak, pantai, pasir, laut dan anai-anai bagi memaknakan mesej, motif mahupun pemikiran yang hendak disampaikan kepada khalayak. Penonjolan unsur kosmos menunjukkan bahawa Abang Median Abang Said memiliki sensitiviti dan kepekaan terhadap alam ciptaan Tuhan yang memiliki fungsi tersendiri kepada kehidupan manusia. Makalah ini membincangkan dua simbol unsur kosmos yang signifikan maknanya dalam JHYP. 

Kunang-kunang Simbol Penyatuan
Abang Median Abang Said menggunakan simbol kunang-kunang sebagai kata kunci bagi mengkonsepsikan makna yang hendak disampaikannya. Kunang-kunang atau kelip-kelip dijadikan simbol penyatuan keluarga yang telah terpisah puluhan tahun. Zullafi dan Khair terpisah dari segi geografi, fizikal, perasaan, budaya, akar umbi dan jati diri akibat tindakan Brown melarikan Khair yang berusia tujuh tahun ke London. Khair terpisah dengan abangnya, Zahid dan kakaknya Amni, setelah peristiwa tersebut. Perpisahan ini telah memenggal jati diri dan pegangan agama Khair kerana Brown gagal mendidiknya dalam hal keagamaan walaupun Brown sentiasa memastikan Khair yang menghidap autisme sihat dan berjaya. Kunang-kunang menjadi simbol yang menyatukan keluarga ini kerana setiap daripada mereka didekati kunang-kunang, termasuklah Brown sama ada menerusi mimpi mahupun secara fizikal. Medan makna penggunaan simbol kunang-kunang dalam JHYP terdapat dalam rajah berikut:

 

     Kunang-kunang menjadi simbol yang signifikan kepada keluarga Zullafi kerana setiap mereka ada cerita tersendiri tentang kunang-kunang sebagaimana yang direncanakan oleh Abang Median Abang Said. Kunang-kunang dalam JHYP mengkomunikasikan medan makna sebagai firasat, intim dengan kehidupan, harapan, pertalian keluarga, cahaya penyatuan. Setiap watak memiliki pengalaman berbeza dengan kunang-kunang, namun mengkomunikasikan makna keintiman, pertalian dan harapan sebuah penyatuan. Zullafi sering bermimpi tentang kunang-kunang sebagaimana dalam petikan berikut:


Hampir setiap malam, Zullafi bermimpi tentang kunang-kunang yang memenuhi biliknya sehingga nafasnya menjadi sesak. Tetapi malam tadi, dia bermimpi kunang-kunang itu membawanya terbang ke sebuah negeri yang jauh. 
                                                                                                                                                                     (Jejak Hilang yang Pulang, 2020, hlm.98-99)


     Mimpi Zullafi memberikan firasat dan bayangan tentang Khair yang hilang. Mimpinya bahawa kunang-kunang membawanya terbang ke sebuah negeri yang jauh menyirati firasat tentang keberadaan Khair yang memang jauh daripadanya. Kunang-kunang dalam mimpi Zullafi memberikan firasat, bayangan dan petanda kepadanya tentang keberadaan Khair.
     Sementara Khair dan kunang-kunang memaknakan keintiman yang diperlihatkan sejak Khair kecil lagi. Setelah dilarikan ke London, Khair menganggap Brown sebagai ayahnya. Brown yang membesarkan dan menjaga kesihatannya sebagai seorang anak autisme. Brown amat menyayangi Khair dan memastikan masa depan Khair terjamin. Khair sendiri mengakui keakrabannya dengan kunang-kunang seperti dalam petikan:

Setiap kali kami berbaring di taman dan pantai pada waktu malam, pasti ada kunang-kunang yang berkerumun menghampiri. Bilangannya bukan sedikit sehingga aku menjadi lelaki kerdipan cahaya. Ayah tersengih melihatku sehingga mengatakan aku seperti pokok pada musim perayaan. Dia juga menggelarku sebagai “Lelaki Kunang-kunang”. 
                                                                                                                                                 (Jejak Hilang yang Pulang, 2020, hlm.126-127)

     Petikan tersebut menandakan bahawa kunang-kunang amat intim hubungannya dengan kehidupan Khair kerana dia sering dikelilingi kunang-kunang sehingga Brown menggelarnya “Lelaki Kunang-kunang” dan kunang-kunang yang berkerumun menandakan keintiman tersebut. Situasi ini sudah berlaku sejak Khair kecil dan kunang-kunang sering mendekati Khair secara fizikal sehingga Khair pada tanggapan Zahid berada dalam dunianya sendiri ketika bermain dengan kunang-kunang. Perkara ini turut diakui imam tua yang melihat Khair dikelilingi kunang-kunang (Jejak Hilang yang Pulang, 2020, hlm.284). Kewujudan kunang-kunang yang mengelilingi Khair menandakan cahaya dan harapan akan hajatnya. Justeru, Khair meminta anaknya, Qaem untuk menjadi guru sukarela di Limbang dengan harapan akan menemui ahli keluarganya yang telah terpisah berpuluh-puluh tahun. 
Kedatangan Qaem ke Limbang untuk menjadi guru sukarela dan mendalami budaya akar umbi keturunannya telah menemukannya dengan Zahid atau Pak Ayed, iaitu bapa saudaranya, abang kepada Khair. Pada peringkat awal, mereka tidak mengetahui bahawa mereka memiliki pertalian keluarga atau darah, namun Pak Ayed agak terkejut apabila melihat kunang-kunang mengiringi Qaem sebagaimana dalam petikan berikut:

Memang tidak terduga. Tidak berkelip mata Pak Ayed melihat kelip-kelip mengiringi Qaem. Masa lalu yang indah, dengan kerinduan yang masih tebal. Mulut Qaem sendiri melongo. Yang berkelintar dalam fikirannya sepanjang hari ini tentang kesukaran yang bakal dilaluinya untuk mencari kunang-kunang. Tapi, kunang-kunang itu telah datang sendiri dalam jumlah yang banyak.
                                                                                                                                                                        (Jejak Hilang yang Pulang, 2020, hlm.276)


     Pak Ayed atau Zahid terus teringat dan mula merindui masa lalu kerana semasa kecil, adiknya Khair sering dikelilingi dan bermain dengan kunang-kunang. Qaem sendiri juga tidak menyangka dia didekati kunang-kunang sedangkan dia hendak mencari kunang-kunang. Pengarang ada motifnya kerana penggunaan kunang-kunang ada magisnya tersendiri, iaitu mereka memiliki pertalian keluarga yang belum diketahui oleh Pak Ayed mahupun Qaem. Sementara Brown juga bermimpi didatangi kunang-kunang sebagaimana dalam petikan “Brown memegang dadanya sendiri. Sekonyong-konyong dia teringatkan mimpinya malam tadi tatkala jutaan kunang-kunang membawanya terbang dan pergi dari muka bumi, (Jejak Hilang yang Pulang, 2020, hlm.211). Walaupun Brown tidak mempunyai pertalian darah dengan keluarga Zullafi, namun Brown turut bermimpi kunang-kunang kerana keakraban hubungannya dengan Khair, iaitu dia membesarkan, memelihara dan memberikan pendidikan kepada Khair. Brown bermimpi jutaan kunang-kunang telah membawanya terbang jauh dari muka bumi yang memberikan firasat tentang karma dosa silam Brown memisahkan Khair daripada keluarganya selain petanda dia akan menemukan ajalnya 
     Watak Zahid diperagakan oleh pengarang semakin memperoleh petanda dan berfikir akan misteri kewujudan kunang-kunang kerana persamaan simbol tersebut apabila melihat kunang-kunang mengelilingi Qaem. Persamaan simbol kunang-kunang yang hadir sewaktu Zahid dan Khair kecil dan kunang-kunang yang mendekati Qaem memiliki pertalian keluarga yang menandakan cahaya penyatuan kerana kunang-kunang walaupun kecil, tetap bercahaya dalam kegelapan. Misalnya, Zahid menyatakan “Tidak dapat difahami persamaan keajaiban itu selain persamaan simbolnya, iaitu kunang-kunang. Adakah semua itu secara kebetulan.” (Jejak Hilang yang Pulang, 2020, hlm.294).
     Rentetan itu, watak Zahid semakin mengerti akan maksud simbol kewujudan kunang-kunang apabila Qaem menjemputnya datang ke rumah pusaka ayahnya sebagaimana dalam petikan berikut:

Kunang-kunang itu masih ada dan hampir sama seperti dahulu menerangi bilik yang gelap ditutupi langsir menyatu dengan mimpiku hingga aku memperoleh kepakaran mengurut. Untuk siapakah balang kunang-kunang itu? Untuk ayah, ibu dan Uncle Brown? Atau untuk aku, Khair dan Amni? Kunang-kunang itu begitu intim dalam rentetan hidup kami yang mengelip-ngelip antara terang dan gelap. Cahaya yang mempunyai falsafahnya sendiri. Cahaya biarpun sedikit akan memberi makna di dalam gelap.
                                                                                                                                                                     (Jejak Hilang yang Pulang, 2020, hlm.331)

     Berdasarkan petikan tersebut, Zahid mengakui bahawa kunang-kunang amat intim dengan perjalanan kehidupan keluarganya. Walaupun kadangkala cahayanya malap seketika, namun cahaya tersebut mengkomunikasikan makna yang istimewa. Kunang-kunang merupakan sejenis serangga yang unik di dunia, bersayap, cantik dan mampu terbang serta mengeluarkan cahaya yang berkelip-kelip pada waktu malam. Cahayanya berupaya menerangi kegelapan malam walaupun badannya kecil. Pengarang menggunakan simbol kunang-kunang kerana ada motif, mesej dan falsafahnya yang tersendiri. Kunang-kunang mencitrakan harapan menerusi cahayanya bahawa keluarga ini ada harapan untuk menemukan penyatuan sebagaimana pada akhir kisah novel ini. Kunang-kunang disimbolikkan oleh pengarang dalam novel ini menerusi watak Zullafi, Brown, Zahid, Khair dan Qaem. Kewujudan kunang-kunang ini memiliki magis dan keistimewaannya kerana menjadi penanda bahawa keluarga ini mempunyai harapan untuk bersatu walaupun terpisah puluhan tahun.  Zahid, Khair, Amni dan Qaem telah bersatu di rumah pusaka keluarga mereka. Perca-perca kenangan dan serpihan-serpihan waktu telah bercantum di rumah pusaka dan kunang-kunang masih setia menerangi dan memberikan cahaya ajaibnya kepada mereka sekeluarga. Kunang-kunang sebagai simbol penyatuan menyedarkan khalayak akan kebesaran dan keajaiban Tuhan dalam merencanakan kehidupan manusia di dunia ini. Kesedaran dan kepekaan pengarang akan kebesaran, keajaiban dan kemuliaan Tuhan amat signifikan dalam JHYP apabila pengarang berusaha memelihara hubungan tiga serangkai, iaitu antara manusia, alam yang diwakili kunang-kunang dan Tuhan sebagai pencipta yang telah menyatukan sebuah keluarga yang terpisah. Perkara ini pula berupaya mendakwahkan khalayak agar memelihara hubungan tiga serangkai ini.

Ombak Lambang Kezaliman
Ombak merupakan kata kunci dalam unsur kosmos yang erat kaitannya dengan bencana. Ombak merupakan unsur alam yang digunakan oleh Abang Median Abang Said sebagai simbol kezaliman. Abang Median Abang Said menganalogikan perbuatan Brown sebagai ombak yang memisahkan keluarga Zullafi sehingga terputus hubungan bertahun-tahun. Ombak amat sinonim dengan kejadian nahas dan maut di lautan. Penggunaan simbol ombak dalam novel ini hasil daripada pengaruh pengarangnya sendiri yang sedar akan fungsi ciptaan Tuhan kepada manusia walaupun ombak mendatangkan bencana. Ombak memberikan kesan kepada Abang Median Abang Said untuk dikaitkan dengan isu-isu yang hendak digarap menerusi watak Brown sebagai antagonis dalam JHYP. Medan makna simbol ombak dalam JHYP terdapat dalam rajah berikut:

 

     Secara tersuratnya, simbol ombak memiliki medan makna kezaliman menerusi konsep kejam pada pasir, menghakis pantai dan hempasan ombak mengubah landskap pasir di pantai sebagaimana dalam petikan halaman 202. Pengarang menganalogikan Khair sebagai pasir yang dizalimi ombak, iaitu Brown. Perkara ini diakui Brown sendiri sebagaimana dalam petikan berikut:


Ombak laut biarpun akrab dengan pantai tetapi tetap kejam kepada pasir-pasir di pantai. Ombak menghakis dan mengubah landskap pasir di pantai sesukanya. Adakah dia juga seperti ombak itu yang menghakis budaya asal Khair yang persis seperti pantai? Kejamkah dia?
                                                                                                                                                                           (Jejak Hilang Yang Pulang, 2020, hlm.202)


     Simbol ombak yang diberikan pada watak Brown menginterpretasikan medan makna kezaliman menerusi frasa kejam kepada pasir-pasir. Perbuatan Brown yang memisahkan Khair daripada asal usulnya menyirati suatu kekejaman kerana telah menghakis dan memenggal jejak Khair untuk mencari jati dirinya. Ombak juga menghakis jati diri dan corak kehidupan Khair menerusi frasa menghakis dan mengubah landskap pasir. Brown telah mengubah kehidupan Khair. Corak, gaya, norma, nilai budaya dan bahasa ibundanya telah menjadi pudar dan hampir terhakis kerana Brown cuba menyembunyikan identiti Khair yang sebenar. Brown tidak menceritakan asal-usul Khair semata-mata takut kehilangan Khair sehingga Khair tidak tahu siapa ibunya. Kehidupan remaja Khair telah terpisah daripada ruang budaya asalnya sebagaimana dalam ungkapan “… ombak itu yang menghakis budaya asal Khair …” sehingga dia tidak tahu identiti dirinya kecuali ingatannya kepada kunang-kunang. Brown juga tidak memberikan didikan agama kepada Khair sehingga Zullafi sering memikirkan persoalan akidah anaknya yang dipelihara Brown walaupun Brown telah memeluk agama Islam dengan nama Sadiq. Perbuatan Brown ini menyebabkan Khair berusaha untuk mencari akar umbi dirinya.
     Kezaliman Brown memberikan impak yang besar terhadap kehidupan Khair. Walaupun Khair berjaya dalam pendidikan dan kerjaya, namun Khair terpisah daripada keluarga dan hilang akar budaya bangsanya. Budaya bangsa yang melambangkan jati diri tamadun bangsa cuba dipadamkan oleh Brown daripada hidup Khair. Peristiwa ini memberikan kesan kepada khalayak untuk berfikir tentang kejadian yang menimpa Khair. Jika Khair tidak mengetahui asal usulnya, maka hidup Khair akan terumbang-ambing tanpa tujuan. Abang Median Abang Said sebagai pengarang yang berprinsip tidak membiarkan Khair kehilangan jati diri dan akar bangsanya akibat perbuatan Brown dengan menghadirkan watak Benjamin yang merupakan sahabat Zullafi. Pencarian jati diri dan akar umbi bangsa diteruskan oleh anaknya Qaem kerana Khair tidak mahu anaknya menerima nasib yang sama. Pencarian dan penemuan jati diri Khair yang hilang merupakan rekaan pengarang yang memanifestasikan falsafah kehidupan dan akal budi Melayu. Impaknya, kisah ini wajar dijadikan teladan oleh khalayak untuk mengukuhkan jati diri dan mendalami akar umbi budaya bangsa dalam menelusuri kehidupan yang penuh pancaroba dewasa ini.

Kesimpulan
Secara keseluruhannya, didapati Abang Median Abang Said berupaya memprojeksikan garapan serpihan-serpihan kehidupan yang akhirnya bercantum menjadi perca kenangan yang utuh. Simbol kunang-kunang dan ombak yang digunakan oleh Abang Median Abang Said bermotifkan untuk memberikan kesedaran kepada khalayak agar mempraktikkan kehidupan berlandaskan nilai budaya dan norma masyarakat serta pelestarian jati diri menerusi serpihan-serpihan waktu. Siratan makna hubungan manusia, alam dan Pencipta digarap oleh Abang Median Abang Said dengan jiwa yang berseni dan penuh kesedaran menerusi kewujudan kunang-kunang dan kehadiran ombak. Rangkumannya, novel JHYP berupaya menjentik dan mengheret jiwa khalayak menerusi pemupukan dan pelestarian nilai budaya bangsa yang merupakan tunjang tamadun bangsa.

 
 
Advertisement