Anda di sini

CBP agih dividen RM58.93 juta bagi tahun kewangan 2021, tertinggi dalam sejarahnya

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama Bhd (CBP) mengumumkan pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2021 berjumlah RM58.93 juta dan ia merupakan yang tertinggi dalam sejarah penubuhannya sejak 1950.

Ketua Pegawai Eksekutif, Khairil Anuar Mohamad Anuar berkata dibandingkan dengan pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2020 yang berjumlah RM58.3 juta maka, peningkatan jumlah bayaran ini akan memberi manfaat kepada 91,601 ahli CBP yang layak.

“Jumlah syer keseluruhan CBP melebihi RM1.03 bilion setakat 31 Dis, 2021,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata kadar dividen bersih bagi 2021 adalah 6.82 peratus bagi syer keutamaan (iRCPS) manakala 6.10 peratus bagi syer biasa dan setanding dengan jumlah dividen yang dibayar oleh dana pelaburan lain di Malaysia.

Menurut CBP, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan permohonan pembayaran dividen bagi syer biasa dan syer keutamaan (iRCPS) CBP bagi tahun kewangan berakhir 2021, semalam.

Ia menjelaskan, bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021, CBP merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM86.16 juta, peningkatan 2.4 peratus daripada RM84.15 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2020.

“Prestasi baik ini didorong oleh pelaksanaan strategi perniagaan yang berkesan oleh pengurusan CBP walaupun terdapat sedikit peningkatan bagi pinjaman tidak berbayar yang disumbang daripada pembiayaan sektor koperasi dan korporat,” tambah CBP.

Bank koperasi itu juga memaklumkan jumlah keahlian CBP menunjukkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 858 ahli dan menjadikan jumlah keseluruhan ahli pada 2021 adalah 91,601.

Para ahli CBP boleh membuat pengeluaran dividen masing-masing bermula 18 Julai secara dalam talian melalui aplikasi e-Semakan atau di semua cawangan CBP di seluruh negara dan penyata dividen boleh disemak mulai 22 Julai, 2022 di https://dividen.cbp.com.my. - BERNAMA
 

Advertisement