Anda di sini

Krisis air empat hari uji warga Miri

Advertisement
Khirudin (tiga kiri), Ketua Zon 7 Sarawak Awangku Mohd Hazmin  Awang Zainal (dua kanan) dan tetamu lain pada Majlis Pelancaran Life Saving Appliances (LISA) dan Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) Zon 7 Sarawak.
Khirudin (tiga kiri), Ketua Zon 7 Sarawak Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal (dua kanan) dan tetamu lain pada Majlis Pelancaran Life Saving Appliances (LISA) dan Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) Zon 7 Sarawak.

KETABAHAN warga Miri diuji pada 16 Jun lalu ketika menerima musibah tidak dijangka apabila berdepan krisis air disifatkan terburuk yang menyebabkan pelbagai urusan harian penduduk terjejas.

Baharu seminggu gangguan air pulih, bandar raya Miri dikejutkan lagi dengan krisis air apabila berlaku kebocoran pada saluran air berdiameter 1100mm di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu (berhampiran PUSPAKOM) sekitar jam 2.30 pagi.

Menurut Syarikat pembekal air LAKU Management Sdn Bhd (LAKU), kebocoran kali ini adalah hiliran daripada kebocoran yang berlaku pada 9 Jun lalu.

Insiden itu mencetuskan rasa gundah gulana, keluh kesah dan situasi panik yang berlarutan selama empat hari, namun didakwa paling kritikal berbanding sebelum ini yang menyebabkan lebih 85 peratus penduduk terjejas.

Detik hitam empat hari itu, merupakan igauan ngeri warga Miri yang mengerah tenaga mencari air, beratur panjang demi sebaldi air, mengejar lori air, menadah air hujan, malah ada yang berebut hingga mencetuskan sedikit ketegangan demi mendapatkan sebotol air.

Ramai yang tidak sempat mandi mahupun menyimpan air untuk kegunaan seisi keluarga, ada juga yang terpaksa mengumpul kekuatan untuk mengangkat tong air yang berat demi keperluan ibu bapa dan ahli keluarga yang sudah uzur.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin menjelaskan, krisis air di Miri yang berlaku pada 16 Jun lalu berlanjutan selama empat hari berikutan masalah penyambungan paip utama di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu.

Katanya, ia merupakan insiden kali kedua berlaku setelah paip yang telah dibaiki mengalami kebocoran pada jam 2.30 pagi. 

Lee berkata, hujan lebat turut mengganggu kerja-kerja pembaikan menyebabkan kerja-kerja penyambungan terpaksa dilakukan semula yang memerlukan tempoh masa lama untuk dilaksanakan.

Ketua Zon 7 Sarawak Awangku Mohd Hazmin  Awang Zainal (empat kiri) menemani Khirudin (duduk tengah) bersama warga bomba Zon 7 ketika melakukan pengujian bot di Sungai Pandaruan.
Ketua Zon 7 Sarawak Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal (empat kiri) menemani Khirudin (duduk tengah) bersama warga bomba Zon 7 ketika melakukan pengujian bot di Sungai Pandaruan.

BOMBA TAMPIL

Ketika  krisis air di Miri meruncing, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri secara sukarelawan tampil membantu mengurangkan keresahan dan kegusaran penduduk.

Pengorbanan dan sifat altruisme iaitu mengutamakan kepentingan orang lain lebih daripada diri sendiri yang ditunjukkan anggota JBPM Sarawak di sebalik krisis air di Miri menyentuh hati rakyat negeri ini.

Kerja-kerja pengepaman air dilakukan anggota bomba ketika air bertakung di lokasi paip pecah susulan hujan lebat, selain memudahkan pihak LAKU melakukan kerja membaiki kerosakan itu.

Pasukan penyelamat itu bukan saja melakukan pengepaman air bahkan turut melakukan penghantaran air bersih kepada penduduk di lokasi terjejas.

Kehadiran anggota berceloreng jingga itu amat dinantikan di setiap ceruk kediaman penduduk yang terjejas.

Selain JBPM, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dari Sibu, Bintulu dan Mukah turut menggerakkan lori tangki untuk menghantar bekalan air bersih kepada penduduk yang terjejas.

Pengarah JBPM Sarawak, Datuk Khirudin Drahman berkata, tugas mencabar anak-anak buahnya di sebalik krisis air di Miri merupakan khidmat komuniti yang digalas di bawah Keluarga Besar Malaysia, meskipun ada agensi lain boleh menjalankan tugas tersebut.

“Apabila bercakap mengenai kecemasan kita merasai denyut nadi komuniti maka kita ke hadapan,” katanya dalam satu temu bual bersama wartawan Utusan Borneo pada ujian perjalanan bot getah (IB) dan bot fiber di Sungai Pandaruan di  Limbang baru-baru ini.

Khirudin (berdiri sembilan kiri) dan Mohd Hazmin (tujuh kiri) bergambar bersama warga Bomba Zon 7,Limbang.
Khirudin (berdiri sembilan kiri) dan Mohd Hazmin (tujuh kiri) bergambar bersama warga Bomba Zon 7,Limbang.

TINDAKAN PANTAS

Mengulas insiden itu Khirudin berkata, pada jam 8.45 pagi 16 Jun lalu beliau diminta membuat keputusan untuk membantu kerja-kerja pengepaman air serta penghantaran bekalan air.

“Saya terus cakap ya, kita arahkan dua jentera bomba di Miri supaya kerja pengepaman dibuat segera.

“Kita memahami denyut nadi komuniti, keluarga besar, walaupun tugas yang dipikul lari dari kepompong kebiasaan.

“Dalam memberi perkhidmatan ketika situasi kecemasan seperti kebakaran, kemalangan, kebocoran, letupan dan sebagainya kita kena bertindak dengan cepat,”katanya.

Jelas beliau, krisis air di Miri merupakan situasi kecemasan yang perlu ditangani kerana keperluan komuniti perlu diberi perhatian segera.

Anggota bomba Miri melakukan kerja pengepaman air di lokasi saluran paip bocor.
Anggota bomba Miri melakukan kerja pengepaman air di lokasi saluran paip bocor.

“Apabila diminta, anggota bomba tidak berdolak dalih, kita minta bantuan satu jentera dari Bintulu dan jika ada tambahan kita juga akan arah bantuan dari Sibu untuk membantu mengurangkan kegusaran masyarakat berdepan krisis air,”ulasnya lagi.

Kata Khirudin menyentuh keresahan masyarakat jabatan itu sebenarnya mewakili kerajaan yang ada.

“Aset jabatan dimiliki kerajaan dan masyarakat sebenarnya tidak melihat mana-mana jabatan selagi agensi dapat meringankan kegusaran, kita mewakili kerajaan, kita pegang amanah dari segi etika bomba 'Seerat Serasa Sehati Sejiwa', kita ke hadapan,” katanya.

Jentera bomba di Miri ketika melakukan penghantaran air di lokasi penduduk terjejas
Jentera bomba di Miri ketika melakukan penghantaran air di lokasi penduduk terjejas

Ujarnya, bantuan kecemasan itu memberi ruang kepada pihaknya menterjemahkan semangat Keluarga Malaysia serta pelaksanaan dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara 2020-2030.

Menurut Khirudin lagi, beliau memberi arahan kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) negeri dan semua Ketua Zon JBPM Sarawak agar memberi bantuan sewajarnya apabila membabitkan kebajikan dan kesejahteraan komuniti, seperti yang dilakukan ketika negara berdepan ancaman COVID-19.

“Inilah pengalaman yang kita pernah harungi semasa COVID-19, penggunaan helikopter untuk menghantar makanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penggunaan bas dan van kita.

“Kita tidak pernah beri jawapan tidak, dalam tempoh dua tahun setiap kali mesyuarat, pesanan dalam aplikasi WhatsApp, permintaan mana-mana pihak berkaitan isu kebajikan masyarakat saya tidak pernah menolak kita cuba memberi yang terbaik kepada komuniti,” kata beliau lagi.

PENGHARGAAN

Menghulur bantuan tanpa mengira penat lelah sehingga menyentuh hati nurani rakyat di Sarawak cukup memberi makna mendalam buat jabatan itu.

Kata Khirudin, foto yang dimuat naik bomba komuniti, pemimpin tempatan dan masyarakat menerusi media sosial dengan titipan ucapan terima kasih, memberi keceriaan dan kesan mendalam kepada anggotanya.

Usaha murni anggota bomba di Miri yang menyentuh hati rakyat Sarawak ketika operasi bantuan pengagihan air.
Usaha murni anggota bomba di Miri yang menyentuh hati rakyat Sarawak ketika operasi bantuan pengagihan air.

Ujar beliau lagi, tiada satu pun rungutan daripada anak-anak buahnya meskipun mengerah keringat siang dan malam menghantar bantuan.

“Ini satu benda yang positif anggota mampu merasai denyut nadi masyarakat, kita membantu sedaya mungkin.
“Ini yang ditunjuk warga bomba seolah-olah mereka membantu keluarga mereka.

“Daripada ketua balai sehingga anggota semua bertugas dan turun padang membantu seolah-olah membantu emak, adik dan saudara-mara ini mampu menterjemahkan semangat Keluarga Besar Malaysia,” katanya lagi.

Menurut Khirudin lagi masyarakat dan bomba tidak dapat dipisahkan.

“Tidak banyak komen negatif yang kita terima semasa melakukan operasi membantu ketika krisis air di Miri.
“Ada komen negatif tetapi daripada pihak berkepentingan.

“Ini yang jabatan bomba terjemahkan untuk membantu mengurangkan ketegangan dan banyak perkara dapat diuruskan,” tambahnya.

Katanya, sepanjang kerja pengepaman di kawasan pembaikan penyelenggaraan kebocoran selama tiga hari tiga malam itu menunjukkan anggota memahami keperluan masyarakat.

“Saya berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada anggota bomba dan didoakan agar warga JBPM sentiasa diberi perlindungan Allah, antara perkhidmatan terbaik yang dilakukan semoga dipermudahkan urusan kita,” katanya.

Beliau menambah, dalam kecemasan banyak cabaran dan ujian yang tidak dapat dielak.

“Setiap ujian yang dilalui dengan persiapan kesiapsagaan menampakkan hasil yang positif,” katanya lagi sambil menambah ia diterjemahkan dalam usaha menangani krisis air di Miri.
 

  • oleh
  • Advertisement