Anda di sini

Amang seksual terhadap anak, bapa dipenjara 10 tahun dan tiga sebatan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang bapa dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan kerana melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia sembilan tahun.

Tertuduh, 36, dijatuhkan hukuman di Mahkamah Sesyen Kuching hari ini selepas dia mengaku melakukan perbuatan tersebut pada awal Julai ini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta sama.

Selain itu, tertuduh juga diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan dalam tempoh tahanan dan pengawasan dua tahun selesai menjalani hukuman.

Tertuduh yang merupakan seorang juruteknik didakwa melakukan perbuatan tersebut iaitu memasukkan jari telunjuk ke kemaluan mangsa ketika memandikannya pada waktu pagi pada Julai 2022, di rumah mereka di kawasan Petra Jaya.

Fakta kes mendedahkan bahawa mangsa mengadu sakit di bahagian kemaluannya kepada ibunya sekitar jam 3 petang pada 4 Julai lalu.

Susulan itu, ibunya membuat laporan polis berhubung kejadian dan tertuduh berjaya ditangkap pada jam 9 malam hari yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Danial Mohamad Ali memohon agar tertuduh dijatuhi hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam, kekerapan kes, jarak usia mangsa dan tertuduh serta keseriusan kesalahan itu sendiri yang melibatkan mangsa kanak-kanak dan merupakan anak perempuan tertuduh.

Menurut DPP Danial juga, tertuduh sebagai bapa sepatutnya menjaga dan melindungi anak perempuannya dan tidak melakukan perbuatan tersebut. 

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad seterusnya bersetuju dengan penghujahan pihak pendakwaan dan berpendapat kesalahan tersebut harus dijatuhkan dengan hukuman tempoh pemenjaraan panjang.

Beliau seterusnya menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap tertuduh mengikut Seksyen 14(a) tersebut dan penalti tambahan dua tahun di bawah Seksyen 16(1) Akta sama berserta tiga sebatan, menjadikan jumlah hukuman penjara sebanyak sepuluh tahun.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement