Anda di sini

Ibu tunggal hidap pelbagai penyakit lega terima pencen Perkeso

Advertisement
Ahmad Saidi (kanan) menyampaikan kerusi roda kepada Hasliza pada Majlis Penyerahan Bantuan Alatan Pemulihan Program Skuad Perkeso Prihatin di Persiaran Klebang Selatan, hari ini. - Gambar BERNAMA 
Ahmad Saidi (kanan) menyampaikan kerusi roda kepada Hasliza pada Majlis Penyerahan Bantuan Alatan Pemulihan Program Skuad Perkeso Prihatin di Persiaran Klebang Selatan, hari ini. - Gambar BERNAMA 

IPOH: Seorang ibu tunggal yang menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi kini menarik nafas lega apabila menerima pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak sejak dua bulan lepas.

Hasliza Abdul Karim, 54, dari Taman Bertuah di sini, menerima faedah itu sebanyak RM904.85 sebulan sejak Mei bagi membiayai perubatan dan meneruskan kehidupannya bersama-sama empat anak berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

“Saya berhenti kerja sebagai operator di sebuah kilang di Jelapang sejak tahun lepas kerana sudah tidak mampu bekerja disebabkan pelbagai penyakit yang dihidapi. Sekurang-kurangnya dengan menerima pencen ini dapatlah juga menampung perbelanjaan harian saya," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Skuad Prihatin 2022 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Saidi Mohamad Daud di sini hari ini.

Hasliza yang kehilangan kaki kiri akibat kencing manis dan pernah melakukan pembedahan pintasan jantung, turut menerima sebuah kerusi roda daripada Perkeso bernilai RM1,770 bagi memudahkan pergerakan dalam meneruskan kehidupan sehariannya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso Perak Adibah Mohamed Amin berkata pihaknya membiayai RM25.94 juta untuk pembayaran pelbagai faedah bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini membabitkan 15,778 kes.

Katanya, sebanyak RM11.5 juta diperuntukkan untuk membiayai faedah hilang upaya sementara melibatkan 12,309 kes manakala RM9.57 juta pula untuk faedah hilang upaya kekal melibatkan 596 kes.

"Bagi pencen ilat, Perkeso telah memperuntukkan sebanyak RM1.35 juta untuk 485 kes manakala pencen penakat pula sebanyak RM1.01 juta diperuntukkan bagi 553 kes. Perkeso juga turut membiayai pencen faedah orang tanggungan sebanyak RM208,564 membabitkan 74 kes dan faedah pengurusan mayat sejumlah RM2 juta kepada 1,126 kes," katanya. - BERNAMA 

Advertisement