KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) sehingga kini berjaya melahirkan lebih 600,000 siswazah di seluruh negara dalam pelbagai bidang.
Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, ia membabitkan siswazah dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan.
Menurutnya, UiTM menawarkan peluang-peluang untuk membentuk bakal pemimpin di peringkat kebangsaan, industri dan global melalui lebih 500 program akademik yang ditawarkan.
"Oleh itu, saya rasa amat berbangga dengan pencapaian UiTM ini yang sekali gus dapat melonjakkan imejnya sebagai salah sebuah universiti dikenali di dalam dan di luar negara.
"Seterusnya dapat merealisasikan matlamat kita (UiTM) ke arah universiti yang dikenali di seluruh dunia menjelang tahun 2025," katanya pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-93 di Dewan Jubli UiTM Cawangan Sarawak di sini pada Rabu.
UiTM mempunyai lebih 18,000 warga kerja merangkumi staf akademik dan bukan akademik yang diyakini sentiasa mendukung aspirasi universiti ini.
"Selain itu, UiTM turut mengecapi kejayaan lain yang antaranya menduduki tempat ke-105 dalam QS Asia University Rankings 2022 dan pada kedudukan 651-700 dalam QS World University Rankings 2023.
"Manakala bagi penarafan THE Impact Rankings 2022, UiTM berada pada kedudukan 101-200 di dunia dan tempat kedua di Malaysia," katanya.
Ujarnya, THE Impact Ranking mengukur inisiatif dan impak institusi dalam menjayakan aspirasi kelestarian global seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan UiTM atas kejayaaan menjadikan universiti terus cemerlang dan gemilang," katanya.
Seramai 389 siswazah menerima ijazah sarjana muda dan diploma dalam pelbagai bidang bagi sidang pertama konvokesyen pada Rabu.
Mereka ini terdiri daripada graduan Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan), Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran), Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa), Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat dan Diploma Pengajian Perbankan.
Kesemua mereka adalah antara 1,663 graduan UiTM Cawangan Sarawak yang bakal menerima ijazah sarjana muda dan diploma pada konvokesyen ini yang diadakan selama lima sidang dari 4 hingga 6 Julai ini.