Anda di sini

Keldai akaun didenda RM500

Advertisement
 

MIRI: Seorang keldai akaun didenda RM500 atau dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan memiliki wang secara tidak sah.
    
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi setelah Mohamad Arif Ajirul, 22, dari Sandakan, Sabah mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil 1958 (Sarawak).
    
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan dan denda maksimum RM500 jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, seorang wanita telah membuat laporan polis dengan mendakwa dirinya ditipu berhubung urusan pembelian perabot bernilai RM600 di sebuah laman sosial.
    
Dalam aduannya, pengadu mendakwa pada 1 April 2021 di sebuah bank di Miri Waterfront di sini, dia telah memindahkan wang RM600 dari akaun suaminya ke sebuah akaun atas nama tertuduh bagi tujuan pembelian perabot sebagaimana diiklankan di laman sosial tersebut.
    
Sehingga laporan polis dibuat, pengadu masih belum menerima perabot yang dibelinya itu.
    
Hasil semakan mendapati terdapat kemasukan wang RM600 melalui satu transaksi ke dalam akaun bank atas nama tertuduh pada 1 April 2021 dan juga terdapat pengeluaran wang dibuat dari akaun tersebut.
    
Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 3 petang, 8 Jun lalu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Kota Kinabalu, Sabah polis telah menangkap tertuduh kerana disyaki terlibat dalam kes ini.
    
Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan ini merupakan kesalahan pertamanya.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Syahrizan Taha manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement