Anda di sini

Kejayaan filem Mat Kilau bukti dasar kerajaan tepat, bantu penerbit tempatan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kejayaan filem dan penerbitan yang menerima dana galakan daripada kerajaan membuktikan dasar serta program yang disalurkan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) adalah tepat dalam membantu penerbit filem tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara Sdn Bhd yang meraih RM43.9 juta jualan tiket panggung dalam masa 12 hari, merupakan antara penerima sokongan dan galakan daripada kerajaan.

Filem arahan Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-28, Syamsul Yusof itu menerima Dana Kandungan Digital (DKD) dengan jumlah geran Dana Produksi sebanyak RM1.5 juta dan Dana Pemasaran RM300,000.

Katanya proses suntingan filem itu pula telah dilakukan menggunakan studio yang dibangunkan Finas iaitu Studio Mixstage, Kompleks Studio Merdeka. 

“Prestasi memberangsangkan filem ini dengan kutipan pecah panggung memberi sinar kepada industri perfileman negara. Sambutan penonton bukan sahaja di Malaysia malah Singapura dan Brunei, sekali gus membuktikan kekuatan jenama filem tempatan dalam meraih kepercayaan penonton ke pawagam setelah berhadapan cabaran pandemik COVID-19.

“Ini juga membuktikan kekuatan cerita tempatan yang diinspirasikan daripada sejarah dan warisan diterima penonton, selain mempunyai potensi besar untuk diangkat ke layar perak. Bagi Finas pencapaian filem ini amat menggembirakan dan menyuntik semangat warganya untuk membantu penggiat industri perfileman tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Md Nasir berharap sambutan hebat kepada filem Mat Kilau itu akan terus menjana sokongan terhadap penontonan filem tempatan selepas ini, selain memberi galakan kepada penerbit meningkatkan penghasilan karya berkualiti yang mampu menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Beliau turut mengingatkan tanggungjawab penggiat industri yang menerima peruntukan agensi itu, supaya terus mematuhi perjanjian kontrak dan memberi kredit sewajarnya kepada pihak kerajaan, K-KOMM dan Finas seperti yang termaktub dalam terma perjanjian tersebut.

Dalam pada itu, Md Nasir berkata Finas juga komited dalam membantu meringankan beban penerbit melalui Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) sejak 1 Julai 2011 yang menggantikan Pemberian Galakan Pungutan Duti Hiburan.

“Insentif ini adalah ihsan kerajaan dalam membantu penerbit dan pengeluar filem tempatan yang perlu membayar cukai hiburan sebanyak 25 peratus kepada kerajaan negeri, yang sudah tidak lagi disalurkan semula kepada Finas sejak tahun 2000.

“Finas meneruskan insentif ini kerana menyedari kepentingan industri yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara. Berdasarkan hasrat dasar ITFC itu, filem seperti Mat Kilau berpeluang menerima pulangan RM500,000 kerana kutipan tiket melebihi RM6 juta,” katanya.

Selain itu, menurutnya agensi itu akan mengadakan pertemuan dengan pihak pempamer dan penerbit filem tempatan pada Khamis ini (7 Julai) bagi melihat semula agihan keuntungan jualan tiket filem antara kedua-dua pihak agar mencapai keputusan serta garis panduan yang lebih jelas dan adil. - BERNAMA 

Advertisement