Anda di sini

ADUN Opar, agensi lawat tapak kenal pasti lokasi bina jambatan Kampung Selampit

Advertisement
Billy (dua kanan) bersama wakil dari JTS dan JKR semasa mengadakan lawatan tapak untuk pembinaan jambatan di Kampung Selampit.
Billy (dua kanan) bersama wakil dari JTS dan JKR semasa mengadakan lawatan tapak untuk pembinaan jambatan di Kampung Selampit.

LUNDU: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang telah mengadakan lawatan tapak bagi mengenal pasti lokasi sebenar tapak pembinaan jambatan Kampung Selampit di sini.

Semasa lawatan tersebut, terdapat dua projek utama yang menjadi perhatian ADUN Opar itu, iaitu Projek Pembinaan Jambatan Kampung Selampit dan Projek Pembinaan Jalan Kendaie-Selampit sebagai satu jalan alternatif. 

“Pembinaan jambatan di Kampung Selampit ini merupakan satu projek yang telah lama tertangguh yang sangat mendapat perhatian untuk dilaksanakan demi kepentingan penduduk setempat.

“Melalui lawatan ini, kedua-dua projek akan dilaksanakan secara berjajar di mana ia akan dihubungkan,” katanya baru-baru ini.

Beliau memaklumkan anggaran nilai kos bagi pembinaan jambatan Kampung Selampit adalah sekitar RM27.94 juta dan kos bagi pembinaan Jalan Kendaie-Selampit pula bernilai RM72 juta. 

Katanya sementara skop bagi pembinaan jambatan Kampung Selampit adalah pembinaan jambatan sepanjang 200 meter dan lebar 6.5 meter termasuklah dengan pembinaan akses jalan raya dan sistem perparitan di sekitar.

“Projek ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada penduduk di empat buah kampung dalam Zon Selampit malahan memberikan impak positif kepada penduduk di Kampung Kendaie, Kampung Bukit Batu, Kampung Pasir Tengah dan Kampung Pasir Hilir di dalam mengurangkan masa perjalanan menuju ke bandar raya Kuching,” ujarnya.

Billy berkata hasil perbincangan semasa lawatan tersebut mendapati, kedua-dua projek ini telah dimasukkan di dalam perancangan untuk dilaksanakan memandangkan peruntukan telahpun diperolehi. 

Kedua-dua projek ini merupakan salah satu usaha beliau untuk menunaikan manifesto beliau semasa Pilihan Raya Negeri yang lepas yang mana beliau akan berusaha untuk meneruskan semula pembangunan di DUN Opar yang terhenti semasa di bawah pihak pembangkang. 

Billy secara peribadi telah berjumpa dengan Pengarah Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Negeri (SIMU), Azmi Bujang selepas lawatan tersebut untuk memberikan taklimat berkenaan dengan kedua-dua projek berkenaan. 

Beliau katanya akan mengambil tindakan selanjutnya untuk memastikan projek-projek ini dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

Katanya ia agar dapat memberi manfaat dan kemudahan kepada rakyat di kawasan terlibat serta penjawat-penjawat awam yang bertugas di situ.

Hadir sama ke lawatan tapak tersebut Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pembangunan Luar Bandar JKR Sarawak Nora Tuah, Jurutera Awam Dayang Hairullina, Jurutera Daerah Lundu Sahril Matnor, Penghulu Jinep Jiheng; Penghulu Anderu Simun dan ketua-ketua kaum bagi kampung-kampung yang terlibat.

  • oleh
  • Advertisement