Anda di sini

Ceroboh rumah orang, curi kasut sekolah, penganggur didenda

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur lelaki didenda RM3,500 atau lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh masuk ke dalam kawasan kediaman seorang lelaki dan mencuri sepasang kasut sekolah. 

Mohd Syafik Wahad, 25, membuat pengakuan tersebut sebaik dua pertuduhan di bawah seksyen berasingan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah. 

Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, tertuduh didakwa menceroboh masuk ke dalam pagar kawasan kediaman lelaki berusia 44 tahun (pengadu) dengan niat untuk mencuri.

Pertuduhan kedua di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan pula menyaksikan tertuduh didakwa mencuri sepasang kasut sekolah yang diletakkan di luar beranda hadapan rumah pengadu.

Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukannya pada 18 Jun lalu, sekitar jam 1 pagi di rumah mangsa yang terletak di Kampung Semariang Batu, Petra Jaya, di sini. 

Berdasarkan keterangan kes, pengadu melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada hari kejadian dan mendapati seorang lelaki yang merupakan orang kampung tetapi tidak diketahui namanya (tertuduh), telah masuk ke dalam pagar kawasan rumah pengadu dan mencuri sepasang kasut sekolah.

Susulan itu, pengadu membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada 22 Jun lalu, sekitar jam 11 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.  

Dalam pada itu, Majistret Zaiton Anuar memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua, RM2,000 atau lima bulan penjara. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement