Anda di sini

Peniaga pasar malam di Ranau disaran jaga kebersihan

Advertisement
JUPIRIN
JUPIRIN

RANAU: Peniaga pasar malam di pekan Ranau, disaran supaya menjaga kebersihan tapak perniagaan masing-masing bagi mengelak berlakunya penyakit berjangkit.

Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau (MDR), Jupirin Ruhimin berkata, semua pemilik permis di Ranau hendaklah peka dan bertanggungjawab terhadap kebersihan demi keselesaan orang ramai termasuk pelancong luar.

Katanya, Ranau dan Kundasang adalah antara destinasi pelancongan utama di Malaysia, justeru seluruh kawasan di daerah tersebut perlu sentiasa bersih dan selamat.

“Saya menyeru orang ramai agar tidak merosakkan kemudahan dan harta benda awam termasuk tumbuhan pokok hiasan di kawasan pekan.

“Keceriaan dan panorama pekan perlu dikekalkan selaras usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) dan MDR mahu mewujudkan ‘Pekan Dalam Taman’,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB), Tan Eng Sing pula menasihatkan peniaga pasar malam supaya menyediakan tong sampah plastik.

Katanya, peniaga pasar malam perlu mengambil inisiatif menyediakan tong sampah masing-masing supaya tidak mengundang haiwan seperti anjing berkeliaran dan mencemarkan persekitaran.

“Orang ramai tidak sepatutnya menyerahkan tanggungjawab membersihkan kawasan pekan kepada MDR sahaja, sebaliknya, semua orang perlu bekerjasama.

“Saya berharap warga pekan Ranau hadir menyertai gotong-royong perdana yang akan diadakan dalam masa terdekat ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement