Anda di sini

Kerajaan Sarawak akan teliti isytihar cuti umum bagi Deepavali

Advertisement
Abang Johari tiba bagi majlis pecah tanah pembesaran Kuil Sikh di Jalan Masjid, Kuching hari ini. - Gambar Chimon Upon
Abang Johari tiba bagi majlis pecah tanah pembesaran Kuil Sikh di Jalan Masjid, Kuching hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneliti permintaan komuniti India di negeri ini untuk mengisytiharkan cuti umum bagi perayaan Deepavali. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau tidak dapat berjanji tetapi akan mencuba yang terbaik untuk memenuhi permintaan itu.
 
“Kita meminta Peguam Besar Negeri untuk melihat perkara ini sebab cuti umum yang diwartakan bagi Sarawak sudah habis. 

“Tetapi kita akan menelitinya dan cari di mana kita dapat masukkan supaya perayaan Deepavali dapat diwartakan sebagai cuti umum di Sarawak,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah pembesaran bangunan Kuil Sikh di Jalan Masjid di sini, hari ini.
 
Tambah Abang Johari, pengisytiharan cuti umum ini juga harus mengambil kira pandangan pihak kesatuan terutama majikan. 

Ini kerana katanya, apabila cuti umum diisytiharkan, maka majikan perlu membayar upah pekerja dua kali ganda pada hari tersebut. 

“Pihak kesatuan cakap banyak sangat cuti umum dan mereka takut untuk bayar upah pekerja dua kali ganda. Tetapi, kita akan menelitinya dan perlu berbincang,” katanya. 

Bercakap mengenai pembesaran kuil tersebut, Abang Johari berkata, beliau berbangga menyaksikan pecah tanah bagi kerja-kerja pembesaran kuil yang menyimpan banyak sejarah itu.
 
Dengan pembesaran kuil itu nanti katanya, ia sudah pasti akan menambah baik fasiliti sedia ada, sekali gus menyumbang banyak kepada aktiviti komuniti Sikh di sini. 

“Apa yang penting sekarang kita harus pelihara semangat toleransi antara kita. Kita ada masjid berdekatan dengan kuil ini, begitu juga gereja dan tokong Cina. 

“Meskipun semua ini terletak dalam satu kawasan, tetapi kita dapat hidup dalam sebuah komuniti. Inilah kecantikan yang kita miliki dan harus dipelihara,” katanya. 

Pada majlis itu Abang Johari turut berkata, kerajaan akan menambah geran bagi kerja-kerja pembesaran kuil itu. 

Katanya pada 2019, beliau telah meluluskan sejumlah RM3.5 juta bagi pembesaran Kuil Sikh di Jalan Masjid, namun jumlah tersebut tidak mencukupi mengambil kira peningkatan kos bahan binaan. 

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga akan meneliti permohonan untuk bangunan berek Punjabi di Batu Lintang dinaik taraf mengambil kira nilai sejarahnya serta sumbangan komuniti itu mempertahankan negeri ketika zaman penjajahan. 

Kerajaan negeri menurut Abang Johari, juga akan mempertimbangkan sewajarnya cadangan komuniti Sikh untuk budaya mereka dipamerkan di satu ruang dalam Muzium Budaya Borneo. 

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Presiden Persatuan Kuil Sikh Sarawak Dr Kalwinder Singh Khaira serta yang lain. 
 

  • oleh
  • Advertisement