Anda di sini

Generasi muda perlu dapatkan maklumat sahih

Advertisement
 Nizam (dua kiri) menerima cendera kenangan daripada pengetua Kolej Tingkatan Enam.
CENDERA KENANGAN: Nizam (dua kiri) menerima cendera kenangan daripada pengetua Kolej Tingkatan Enam.

TAWAU: Generasi muda di negara ini perlu diberi pendedahan berkaitan kaedah mendapatkan maklumat yang sahih supaya mereka tidak mudah terpedaya dan dihasut dengan berita palsu di luar sana.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata ketika ini banyak berita-berita palsu disebarkan melalui pelbagai cara oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, generasi muda ketika ini mudah mendapatkan berita terutamanya yang disebarkan melalui dalam talian ataupun media sosial.

“Sekiranya mereka tidak diberikan pengetahuan untuk membezakan berita yang sahih dan palsu, sudah pasti ia akan mendatangkan kekeliruan serta mendapat kesan yang lebih buruk.

“Justeru, generasi muda terutamanya berumur 18 tahun perlu matang memilih berita yang terhidang di media sosial kerana mereka ketika ini sudah diberi amanah untuk menentukan masa depan negara,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian semasa merasmikan Program Isu Semasa dan Info ‘On Wheels (IOW) anjuran Pejabat Penerangan Daerah Tawau di Kolej Tingkatan Enam, di sini hari ini.

Menurutnya, program ini wajar di luaskan kerana ia mampu menangani dakyah, fitnah, propaganda, jenayah sosial dan salah maklumat (disinformation) yang berlaku dalam kalangan masyarakat setempat.

“Dengan adanya penglibatan pelajar tingkatan enam dalam program ini menunjukkan bertapa pentingnya peranan generasi muda dalam membentuk masa depan negeri Sabah dan Malaysia amnya.

“Saya yakin penglibatan dan kerjasama segenap lapisan masyarakat juga dapat membantu Jabatan Penerangan mencapai objektif setiap penganjuran program yang dilaksanakan,” katanya.

Nizam berkata, program yang dirancang ini boleh dijadikan asas bagi membantu merealisasikan dasar-dasar kerajaan yang digubal demi kepentingan masyarakat.

“Saya harap masyarakat memberi kerjsama dan sokongan kepada kerajaan negeri dengan menjayakan pelan pembangunan Sabah bagi tahun 2021-2025 akan datang.

“Hala Tuju Sabah Maju Jaya berfungsi sebagai panduan dasar dan program kerajaan, seterusnya memandu arah pelaksanaan pembangunan negeri secara terancang dan strategik,” katanya.

Katanya, sokongan rakyat amat diperlukan dalam memacu kemajuan pembangunan dan kestabilan ekonomi negeri dan negara amnya.

“Kejayaan ini bergantung pada sokongan dan kerjasama berterusan daripada rakyat khususnya generasi muda yang ada pada hari ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement