Anda di sini

BERSATU Sabah tidak bersembunyi

Advertisement
KHAIRUL
KHAIRUL

KOTA KINABALU: BERSATU Sabah tidak pernah bersembunyi disebalik nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi bergerak seiring dalam GRS bersama rakan-rakan parti komponen lain untuk kelangsungan pembangunan negeri. 

Ketua Penerangan BERSATU Sabah Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, adalah tidak wajar untuk fitnah BERSATU Sabah.        

"Kami antara komponen dalam gabungan tersebut (GRS) dan kita semua dalam GRS bergerak seiring sebagai sebuah gabungan yang membentuk kerajaan yang mentadbir negeri.

"Tak wajar kalau ada pihak yang suka-suka hati menuduh BERSATU sebegitu, apatah lagi jika pihak itu bukan dari kalangan pemimpin tempatan Sabah yang arif tentang corak politik di negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Khairul juga meminta agar pihak yang tidak arif dan tidak mengetahui tentang norma politik di Sabah, untuk tidak sewenang-wenangnya memberi ulasan atau menghina corak politik di negeri Sabah.

“Kita di Sabah dengan kerajaan GRS adalah satu cetusan idea yang pertama kali dalam sejarah politik negeri dan jalinan kerjasama ini juga adalah cetusan daripada Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai ketua BERSATU kita di Sabah dan juga Datuk Seri Bung Mokhtar Radin selaku ketua Barisan Nasional di Sabah.

"Tidak lain tidak bukan, tujuan utamanya adalah kerana kedua-dua pemimpin ini adalah pemimpin Sabah, yang faham akan norma politik di Sabah dan inginkan yang terbaik untuk kelangsungan kemajuan negeri, seiring dengan fokus Sabah Maju Jaya.

“Saya harap, tiada yang berhasrat atau berniat ingin menjadi batu api, mencurah minyak dan mencetus bahang api persengketaan," katanya.

Khairul Firdaus yang juga merupakan Ketua Bahagian BERSATU Batu Sapi berkata, kewujudan GRS sejak awal sudah dirancang sebelum kerajaan negeri baharu terbentuk.

“GRS dirancang sebelum Pilihan Raya Negeri pada 2020 yang lalu dan direalisasikan selepas tertubuhnya kerajaan negeri selepas PRN," katanya.

Dalam pada itu, Khairul turut memberitahu bahawa acuan politik di Sabah mempunyai keunikan dan kelainan tersendiri.

"BERSATU adalah sebuah parti yang utuh dan mempunyai jati diri sendiri, tidak akan menjadi duri dalam daging, khasnya bagi kepimpinan kerajaan negeri GRS-BN," katanya.

Katanya, kerjasama kerajaan GRS-BN tidak pernah tergugat dan semua barisan pimpinan saling bekerjasama dalam melaksanakan misi dan fokus pembangunan kepada rakyat Sabah.

“Kita (BERSATU) tidak berselindung disebalik nama GRS kerana kita kununnya takut tumbang, tapi kita dalam GRS bersama-sama membawa perjuangan rakyat kita, rakyat Sabah, untuk kita, untuk negeri Sabah.

“Kita bertanding bagi 19 Kerusi DUN dan menang 11 Kerusi, syukur dan ini bukti bahawa kita diterima rakyat Sabah, walaupun kita boleh dikatakan masih baharu," katanya lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement