Anda di sini

Ubah suai bangunan Limbungan Brooke sebagai Muzium Maritim kini 41 peratus

Advertisement
Kerja-kerja pengubahsuaian Limbungan Brooke di tebing Sungai Sarawak di Jalan Market, Kuching dalam proses pembinaan dan dijangka siap penghujung tahun. - Gambar Chimon Upon
Kerja-kerja pengubahsuaian Limbungan Brooke di tebing Sungai Sarawak di Jalan Market, Kuching dalam proses pembinaan dan dijangka siap penghujung tahun. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kerja-kerja pengubahsuaian bangunan Brooke Dockyard atau Limbungan Brooke yang terletak di tebing Sungai Sarawak sebagai Muzium Maritim kini sudah mencapai 41 peratus.

Penyelaras projek Salmiah Abdullah berkata, pengubahsuaian bahagian bangunan berkenaan kepada Muzium Maritim Brooke Dockyard yang bernilai RM40 juta dijadualkan siap menjelang hujung tahun ini.

Bagaimanapun katanya, ia dijangka siap sepenuhnya pada April tahun hadapan selepas membawa masuk lebih daripada 80 bahan pameran.

“Projek ini bukan melibatkan bangunan baharu tetapi melibatkan pemeliharaan bangunan yang berusia lebih 100 tahun. Untuk makluman, Brooke Dockyard telah ditubuhkan pada tahun 1912.

“Struktur bangunan adalah berusia satu abad, sementara limbungan itu sendiri berusia 110 tahun, iaitu yang tertua seumpamanya di Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (OSH Week) Sarawak 2022 dan Mega Toolbox sempena sambutan 800,000 Jam Bekerja Tanpa Kemalangan bagi Projek Pembangunan Timi Sarawak Shell Berhad dan HSE Idol di Sejingkat Fabrication Yard BDEWC di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak Dr Nor Halim Hasan dan dihadiri Pengerusi BDEWC Datu Safri Zainudin.

Mengulas lanjut Salmiah berkata, projek muzium itu dibiayai oleh kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.

Selain itu katanya, pereka untuk projek muzium itu berasal dari United Kingdom.

Beliau memaklumkan, bagi replika kapal yang dibawa ke muzium itu nanti, ia sedang dibina di Sibu dan dinamakan Zahora.

“Replika Zahora kini sedang dibina di Sibu. Ia tidak dilakukan di Kuching kerana kami tidak mempunyai kemudahan untuk tapak.

“Kami menyasarkan replika kapal itu siap pada November tahun ini, dan kemudian menundanya ke limbungan di sini,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement