Anda di sini

Konsert Tribute Queen di BCCK 30 Julai ini

Advertisement
Abdul Karim (dua kiri) merakamkan gambar bersama Snowdan (kiri), Zaid (dua kanan) dan Ting untuk pelancaran rasmi konsert itu. – Gambar Chimon Upon
Abdul Karim (dua kiri) merakamkan gambar bersama Snowdan (kiri), Zaid (dua kanan) dan Ting untuk pelancaran rasmi konsert itu. – Gambar Chimon Upon

KUCHING: Front Asia Row akan menganjurkan Konsert Tribute Queen, 'I Want To Break Free!' pada 30 Julai dengan persembahan secara langsung oleh artis antarabangsa seperti Alfred Ayal dan Alif Putra x Killer Queen di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Konsert pertengahan tahun itu juga akan menampilkan bakat tempatan seperti Dewi Seriestha, Mathew Ngau, Michael King dan ramai lagi.

Konsert muzik itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama timbalannya Datuk Sebastian Ting dan Snowdan Lawan.

Menurut Pengarah Urusan Front Row Asia, Ameerah Alsree, salah satu prinsip utama konsert itu adalah untuk membawa perubahan positif dalam industri muzik Sarawak dengan menghidupkan semula acara muzik secara langsung (live).

Ia juga katanya, merupakan aktiviti proaktif untuk menghidupkan semula dan membangunkan komuniti pemuzik serta industri negeri secara amnya.

“Kini dengan fasa endemik dan sempadan antarabangsa dibuka, masanya telah tiba untuk Sarawak menjadi destinasi bagi acara muzik secara langsung. Kita bersedia menggegarkan Kuching dengan Konsert Queen Tribute melibatkan artis antarabangsa yang berbakat.

“Kumpulan (band) ini diketuai Alif Putra, seorang pemain gitar berbakat tinggi yang dikenali sebagai Steve Vai dari Singapura sementara vokal terdiri daripada Alfred Ayal. Beliau (Alfred) mempunyai bakat nyanyian dan persembahan sehingga beliau digelar sebagai "Freddie Mercury of Indonesia",” ujar Ameerah pada sidang media yang diadakan di sebuah hotel berhampiran Jalan Tun Abang Haji Openg semalam.

Tambah beliau, antara persembahan utama lain ialah Killer Queen Band yang menampilkan pemuzik terkenal iaitu Reno (papan nada), Yazid (bes) dan Matthias (dram).

“Turut serta, Dewi Liana Seriestha, pemain sape’ terkenal iaitu Matthew Ngau, dan Michael King, vokalis tenor yang berbakat,” katanya.

Ameerah juga berkata Front Asia bekerjasama rapat dengan beberapa organisasi untuk menjadikan konsert itu satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan, terutamanya bagi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan pihaknya amat berterima kasih atas sokongan dan bimbingan diberikan kementerian tersebut.

Beliau menambah, susulan pandemik COVID-19, semua pertunjukan secara langsung ditangguhkan.

Justeru, Front Row ujarnya, muncul dengan idea Unlock Your Talent’ dan ‘Music Must Go On’ iaitu semua persembahan diadakan secara maya dan dalam talian.

“Sejak mula lagi, elemen amal dapat dilihat pada Music Must Go On (MMGO) dan kita telah memutuskan untuk menjadikannya bahagian dermawan rasmi Front Row.

"MMGO akan dijalankan sebagai badan berasingan untuk tujuan amal semata-mata dan berusaha untuk menyokong komuniti pemuzik melalui pelbagai aktiviti dalam bidang tumpuan seperti pertunjukan, gig, pelajaran muzik, penyediaan alat muzik dan sebagainya,” jelas beliau lagi.

Beliau juga mengumumkan Larissa Ping (Miss Malaysia World 2018) sebagai Penaung MMGO.

Menurutnya, sebahagian daripada hasil jualan tiket Konsert Queen Tribute akan disalurkan kepada MMGO.

Beliau kemudiannya menekankan MMGO akan dikekalkan sebagai Pergerakan Bantuan Muzik sepenuhnya, susulan beberapa sumbangan utama melalui pembiayaan serta sumber lain datang daripada organisasi dan individu yang bermurah hati.

Bagi mereka yang berminat, tiket untuk Konsert Queen Tribute 'I Want To Break Free' pada 30 Julai 2022 kini boleh dibeli melalui rakan kongsi digital Sarawak Digital Economy Corporation di pautan https://sdengage.sarawak.digital/events/i-want-to-break-free-a-queen-tri....

Buat masa ini, terdapat empat jenis tiket iaitu antara RM88 - RM500 dengan sehingga 30 tiket boleh dibeli pada satu masa.

Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sacofa Mohamed Zaid Zaini, Ketua Pegawai Operasi (COO) Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Malseni Jamal, Timbalan ketua pegawai TVSarawak Rizal Zulkapli, pengarah urusan Merdeka Waterfront Hotel Sdn Bhd, Dato Steve Ng Thian Yew dan Larissa.

Advertisement