Anda di sini

Usah jadikan perpustakaan 'muzium buku' 

Advertisement

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting menggesa Perpustakaan Awam MPS, Jalan Keranji agar lebih kreatif serta fleksibel dalam menggalakkan lebih banyak pengunjung dalam kalangan generasi muda, khususnya pelajar.

Tumpuan pembaca telah berubah dan perpustakaan tidak lagi berfungsi sebagai pusat himpunan buku-buku, majalah dan surat khabar semata-mata.

Kakitangan pusat sumber juga harus tahu minat pembaca di samping melakukan perubahan dalam perpustakaan misalnya sebagai pusat siber, pusat pembelajaran dan maklumat yang menyeronokkan.

"Adakah kita mahu lihat perpustakaan terus ketinggalan zaman atau muzium buku," soalnya semasa mesyuarat bulanan Majlis Perbandaran Sibu di sini pada Isnin.

"Susun atur di dalam perpustakaan itu juga memenuhi citarasa generasi muda sekali gus menarik kunjungan mereka ke perpustakaan," katanya lagi.

Menurut Clarence, petugas di perpustakaan awam terbabit harus segera melakukan penambahbaikan agar ia kekal relevan sebagai lokasi kegemaran pelajar.

"Penambahbaikan bukan sahaja dilihat dari sudut bilangan dan kekukuhan koleksi-koleksi yang diwujudkan, tetapi juga melihat bagaimana sumber–sumber yang sedia ada dapat dioptimumkan penggunaannya agar dapat menarik minat pelajar," jelas beliau.

Perkhidmatan serta kemudahan disediakan harus ditambah dan ditingkatkan secara berterusan bagi memastikan keperluan golongan pelajar dipenuhi sepanjang masa.  

"Hala tuju masa hadapan juga perlu dirangka bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan dapat dioptimumkan dilakukan seiring dengan situasi semasa," katanya.

  • oleh
  • Advertisement