Anda di sini

Man United menegaskan Ronaldo tiada dalam pasaran perpindahan musim panas ini

Advertisement

LONDON: Kelab Manchester United menegaskan bahawa Cristiano Ronaldo tidak berada dalam pasaran perpindahan pada musim panas ini walaupun wakil penyerang antarabangsa Portugal itu menilai minat dari beberapa kelab ternama di Eropah, menurut sumber ketika memberitahu penyiaran ESPN.

Ronaldo dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea, Bayern Munich, Real Madrid dan Paris Saint Germain (PSG) tetapi sumber rapat dengan kelab Old Trafford menegaskan mereka mahu dan menjangkakan pemain berusia 37 tahun itu terus kekal di kelab pada musim hadapan.

Beliau mempunyai baki kontrak satu tahun lagi di kelab, dengan pilihan lanjutan satu musim lagi.

Ronaldo menjaringkan 24 gol dalam semua pertandingan bersama United musim lepas namun gagal mengelak United dari terlepas kelayakan ke Liga Juara-Juara selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga keenam.

Sumber berkata, Ronaldo mahu menghabiskan baki kariernya bermain dalam Liga Juara-Juara dan mula meragui cita-cita kelab selepas gagal membuat pembelian pemain baharu yang meyakinkan pada musim panas ini.

Bagaimanapun, pengurus baharu United, Erik ten Hag, yang akan mengetuai sesi latihan pramusim pertama di Carrington minggu ini, mengharapkan memiliki Ronaldo dalam skuadnya untuk musim baharu.

Ten Hag dan pengarah bola sepak kelab, John Murtough, sudah mengalih fokus perpindahan mereka dari seorang penyerang kepada penyerang serba boleh selepas gagal mendapatkan Darwin Nunez, yang menyertai kelab Liverpool dari Benfica.

Pemain sayap kelab Ajax, Anrtony, adalah salah satu sasaran utama tetapi walaupun pemain antarabangsa Brazil itu berminat untuk menyertai United, tanda harga diletakkan oleh Ajax  80 juta euro  adalah terlalu tinggi buat United.

Keutamaan United pada musim panas ini masih  kekal mencari seorang pemain tengah, dan rundingan masih berjalan dengan kelab Barcelona untuk perpindahan Frenkie de Jong.

Difahamkan kedua-dua kelab hampir mencapai satu persetujuan dan ada harapan De Jong mungkin akan menjadi sebahagian dari skuad yang akan berlepas ke Thailand dan Australia pada 8 Julai untuk persediaan pramusim. - AFP

Advertisement