Anda di sini

Lyles tunjuk bakat, mendominasi acara 200m lelaki

Advertisement

EUGENE: Juara dunia, Noah Lyles mengajar atlet muda Erriyon Knighton dengan memenangi acara 200 meter lelaki dalam masa 19.67 saat pada kejohanan kelayakan olahraga Amerika Syarikat (AS) di sini pada Ahad.

Knighton, 18, yang mengejutkan dunia olahraga dengan catatan masa 19.49 saat pada bulan Mei lepas, mendahului perlumbaan ketika di selekoh sebelum Lyles memintas dan berseloroh menuding jari ke arah Knighton ketika melepasi garisan penamat.

"Saya melakukan apa yang perlu untuk menang," kata Lyles, yang menegaskan bukan menuding jari ke arah Knighton tetapi ke arah jam masa.

"Erriyon memastikan saya berlari lebih pantas saya tidak risau. Saya memberitahu akan mengejarnya. Saya akan mengharungi baki 100 meter dengan lebih baik dan itulah yang saya lakukan."

Knighton menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 19.69 saat, diikuti Fred Kerley di tempat ketiga dengan masa 19.83 saat untuk mengesahkan slot ketiga untuk Kejohanan Olahraga Dunia, yang juga akan berlangsung di Stadium Hayward Field di sini dari 15 hingga 24 Julai.

Abby Steiner meneruskan peningkatan dalam acara 200 meter wanita apabila memperbaharui catatan terpantas dunia tahun ini apabila meraih kemenangan dengan masa 21.77 saat.

Knighton beraksi dalam perlumbaan separuh akhir 200 meter lelaki di Hayward Field di Eugene, Oregon, kelmarin.  - Gambar AFP
Knighton beraksi dalam perlumbaan separuh akhir 200 meter lelaki di Hayward Field di Eugene, Oregon, kelmarin.  - Gambar AFP

Dua jam sebelum itu, Steiner menyamai catatan terpantas dunia sebelum ini, 21.80 saat dalam peringkat separuh akhir ketika dia terus menyerlah pada musim yang menyaksikannya memenangi kejuaraan peringkat kolej NCAA pada awal bulan ini.

"Datang dari musim kolej, ramai orang meletakkan had ke atas anda, berkata anda akan keletihan," katanya sambil menambah bahawa dia percaya dia boleh mengekalkan rentak sehingga ke kejohanan dunia.

"Saya dan jurulatih saya percaya proses ini."

Tamara Clark mendahului awal perlumbaan tetapi terpaksa akur di tempat kedua sementara Jenna Prandini di tempat ketiga.

Pemenang pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo, Gabby Thomas, hanya menamatkan perlumbaan di tempat kelapan selepas baharu pulih dari kecederaan tetapi berikrar untuk meneruskan latihan untuk bertanding dalam musim Liga Permata.

Bintang utama, ShaCarri Richardson gagal melepasi peringkat separuh akhir, menyebabkannya gagal layak untuk bersama-sama pasukan AS ke Kejohanan Dunia selepas turut gagal dalam acara 100 meter.

Beliau berkata, akan mengalihkan perhatian kepada persediaan untuk Liga Permata.

Rai Benjamin, pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2019 dan di Sukan Olimpik Tokyo tahun lepas, merekodkan catatan masa  terpantas tahun ini apabila memenangi acara 400 meter lompat pagar lelaki dengan masa 47.04 saat.

Benjamin memperbaiki catatan terpantas sebelum ini, 47.23 yang dicipta Alison Dos Santos pada kejohanan Liga Perdana Eugene bulan Mei lalu dan memberikan gambaran apa yang boleh dia tawarkan pada kejohanan dunia di mana dia akan cuba menebus kekalahan kepada Karsten Warholm di Tokyo  apabila kedua-dua pelari ini mencipta masa di bawah rekod dunia lama.

Dalam acara lontar peluru wanita, Chase Ealey mencipta lontaran paling jauh di dunia, 20.51 meter, diikuti Adelaide Aquilla dengan lontaran 19.45 meter dan Jessica Woodard di tempat ketiga dengan jarak 19.40 meter.

Donaldo Scott memenangi acara lompat kijang lelaki dengan lompatan sejauh 17.97 meter, mengatasi Will Claye di tempat kedua dan Chris Benard di tempat ketiga.

Juara empat kali dan juara dunia, Christian Taylor, yang tidak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo kerana kecederaan, hanya menamatkan saingan di tempat kelima tetapi layak ke kejohanan dunia selaku juara bertahan.

Pemenang pingat emas Olimpik Tokyo, Athing Mu, menangani cabaran lewat Ajee Wilson untuk memenangi acara 800 meter wanita dengan masa 1:57.16.

Mu gagal menyamai catatan terpantas dunia 1:57.01 yang dia sendiri cipta pada kejohanan Liga Permata Rom tetapi melakukan yang terbaik untuk menangani cabaran Ajee dengan Raevyn Rogers menduduki tempat ketiga.  - AFP

Advertisement