Anda di sini

Beberapa stesen minyak di Kuching kehabisan RON95 

Advertisement

Ia mengakibatkan panik dalam kalangan pengguna sejak semalam namun puncanya masih belum jelas

Antara stesen minyak yang mengalami kekurangan RON95 sejak semalam.
Antara stesen minyak yang mengalami kekurangan RON95.

"Mereka beritahu terdapat masalah kekurangan pemandu lori tangki minyak dan sebab itu tidak dapat menghantar minyak. Betul atau tidak sumber ini kita tidak tahu."

Felecity Jarau

Oleh Henrietta Liza

KUCHING: Beberapa stesen minyak di bandar raya Kuching kehabisan petrol RON95 dan mengakibatkan panik dalam kalangan pengguna sejak semalam namun puncanya masih belum jelas.

Hasil tinjauan Utusan Borneo hari ini mendapati RON95 masih dijual pada harga yang sama iaitu RM2.05 per liter di sini.

Seorang pekerja yang ditemui di sebuah stesen minyak memberitahu pemberita bahawa pihaknya mengalami masalah kehabisan petrol RON95 sejak Mei lalu.

Tambahnya, ia berkemungkinan disebabkan kegusaran orang ramai yang takut harga minyak akan naik secara mendadak selepas ini.

Ditanya jika Sarawak mengalami kekurangan stok petrol berkenaan, dia tidak dapat menjelaskan secara terperinci mengenainya.

Ditanya lagi jika ramai yang membeli dalam tong, katanya tidak ada, cuma ada yang membeli dalam gelen kecil untuk kegunaan memotong rumput sahaja.

Felecity Jarau, 37, memberitahu bahawa dia hanya menyedari ketiadaan RON95 ketika singgah untuk menambah petrol di stesen minyak dekat Jalan Song selepas waktu bekerja semalam.

Dia turut mencuba beberapa stesen minyak berdekatan dan turut dimaklumkan kehabisan minyak RON95.

"Mereka beritahu terdapat masalah kekurangan pemandu lori tangki minyak dan sebab itu tidak dapat menghantar minyak. Betul atau tidak sumber ini kita tidak tahu," katanya kepada pemberita.

Achi Pim, 34, pula berkata kerana terdesak dia terpaksa mengisi petrol RON97.

"Mulanya saya ke stesen minyak di Jalan Sentral dan BDC tapi habis kerana terdesak isi sahaja RON97.

"RM4 seliter minyak memang membebankan. Setakat ini saya belum panik lagi sehinggalah nanti jika benar-benar harga petrol dinaikkan," katanya.

Jika benar, dia yakin Kerajaan Sarawak tidak akan melihat rakyatnya sengsara dengan kos sara hidup yang begitu membebankan dan sudah pasti akan membantu.

Sementara itu, Ema Greek, 33, pula berkata dia ke stesen minyak di Jalan Tun Jugah malam kelmarin.

"Saya tidak panik tetapi menjadi kebiasaan untuk mengisi minyak sekali seminggu sebelum bermula kerja pada hari Isnin. 

"Tetapi kalau betul harga minyak naik kepada RM4++ bermula 1 Julai ini, itu adalah perbelanjaan harian yang banyak tambah lagi untuk golongan B40," jelasnya.

Advertisement