Anda di sini

Bajet 2022 mampu tangani kesan pandemik, pulihkan ekonomi

Advertisement
KUALA LUMPUR: Bajet 2022 Malaysia kekal berkembang serta mampu menangani impak pandemik yang berlarutan dan memulakan semula ekonomi, kata S&P Global Ratings.

Menurut laporan terkininya mengenai Malaysia, agensi penarafan global itu berpendapat ketika Malaysia memasuki mod endemik, keperluan perbelanjaan dalam bidang seperti penjagaan kesihatan dan pemindahan fiskal langsung mungkin lebih rendah. 

"Oleh itu, kami meramalkan keberhutangan bersih kerajaan umum Malaysia akan meningkat sebanyak 5.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022, berbanding kenaikan 6.4 peratus pada 2021, pada defisit kerajaan umum serta pusat yang sederhana lebih rendah," katanya.

Menurut S&P, pandemik itu telah menangguhkan rancangan penyatuan fiskal kerajaan secara ketara.

Dengan pembukaan semula ekonomi, ia akan menyaksikan pengurangan keperluan bagi rangsangan fiskal termasuk persekitaran pembuatan dasar yang lebih kondusif dan yakin kerajaan adalah komited untuk meneruskan trajektori penyatuannya mulai tahun depan.

Hasilnya, S&P menjangkakan hutang kerajaan umum bersih akan stabil pada kira-kira 70 peratus berbanding KDNK dari 2022-2025, dengan perubahan tahunan purata 4.0 peratus. 

Walaupun harga tenaga melonjak tahun ini, tetapan fiskal masih belum mendapat manfaat dan kekal lemah.

"Peningkatan royalti dan duti daripada harga komoditi yang lebih tinggi sebahagian besarnya diimbangi oleh subsidi bahan api kepada penduduk. Oleh itu, daripada rekod lampau, kami hanya melihat lonjakan harga minyak mentah memberikan impak yang agak lambat kepada peningkatan hasil fiskal," katanya.

Selain itu, S&P berkata kerajaan Malaysia memperoleh kurang 20 peratus daripada jumlah hasil sumber berkaitan minyak. 

Komponen terbesar tunggal pendapatan adalah dividen yang dibayar oleh syarikat minyak negara Petroliam Nasional Bhd (Petronas), yang telah menghulurkan dividen sebanyak RM25 bilion pada 2021 dan dianggarkan akan membayar jumlah yang sama pada tahun ini.

"Pada pandangan kami, kenaikan kepada hasil fiskal akan kelihatan menjelang 2023 sekiranya Petronas mengalami keuntungan yang lebih tinggi tahun ini dan mengisytiharkan dividen yang lebih baik," katanya. 

Penyatuan fiskal bagi mengekalkan asas yang mampan, di samping pertumbuhan ekonomi yang sihat, S&P  seterusnya meramalkan kerajaan akan melakukan usaha yang signifikan bagi memulihkan rangka kerja yang menjana pendapatannya. 

Terutama, apabila menyaksikan pentadbiran sekarang telah mula memasuki rangka kerja fiskal jangka sederhana dan menggubal Akta Tanggungjawab Fiskal.- BERNAMA

Advertisement