Anda di sini

Skuad tinju Sarawak bolot 3 emas pada Kejohanan Golden Gloves

Advertisement
Rahman (duduk tengah) bergambar bersama barisan jurulatih, pegawai MSNS dan para petinju selepas kejohanan berakhir.
Rahman (duduk tengah) bergambar bersama barisan jurulatih, pegawai MSNS dan para petinju selepas kejohanan berakhir.

KUCHING: Skuad tinju Sarawak melakar kejayaan cemerlang pada Kejohanan Golden Gloves 2022 yang diadakan di Perlis apabila berjaya membawa pulang tiga pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Lebih manis apabila ia merupakan pencapaian terbaik Sarawak sejak sepanjang penyertaannya dalam kejohanan berprestij itu. 

Daeloniel Mcdelon Bong atau 'Kilat Boy' menepati ramalan apabila menyumbang pingat emas Sarawak dalam kategori 57 kilogram (kg).

Rakan sepasukan SUKMA beliau, Mohammad Hellmi Chieng turut merangkul emas dalam kategori 67kg.

Sebutir lagi emas disumbangkan atlet remaja, Lam Wee Liang dalam kategori 60kg.

Muhammad Syawal Mohamad Isham pula meraih perak dalam kategori 51kg.

Manakala gangsa masing-masing disumbangkan Darren Ch'ng Yong Kui (71kg) dan Hellary Hendry (92kg).

Pada temasya kali ini, Sarawak menghantar seramai 10 petinju dengan tujuh daripadanya merupakan atlet SUKMA manakala tiga petinju dari skuad remaja.

Kejayaan bersejarah Sarawak pada edisi kali ini mendapat pujian dari Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo sambil berkata pencapaian itu luar dari sasaran mereka.

"Alhamdullillah, ini merupakan satu lagi kejayaan bersejarah dilakar barisan petinju kita pada Kejohanan Golden Gloves. 

"Kutipan pingat kali ini adalah di luar dari sasaran kita namun sebaliknya petinju kita berjaya membuktikan kemampuan mereka walaupun ditentang petinju-petinju berpengalaman.

"Saya sangat bangga dan berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan kesemua mereka lebih-lebih lagi petinju remaja kita kerana turut berjaya menyumbang pingat. 

"Ini membuktikan program pembangunan yang kita laksanakan selama ini berjaya dalam melahirkan bakat-bakat baru," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Tambah beliau, pencapaian dalam kejohanan itu memberi signal akan peluang cerah petinju Sarawak untuk menghadiahkan pingat pada temasya SUKMA dijadual berlangsung pada penghujung September ini.

Sehubungan itu, Rahman mengucapkan setinggi penghargaan kepada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SCC) yang tidak pernah jemu menyokong apa jua program pembangunan dilaksanakan oleh SABA.

Jelasnya, tanpa sokongan dan dokongan dari semua pihak, adalah mustahil untuk SABA menggerakkan perancangan pembangunan untuk memartabatkan sukan itu di negeri ini.

Kejohanan Golden Gloves 2022 diadakan di Kompleks Sukan MSN, Kangar, Perlis dari 21 hingga 26 Jun.

  • oleh
  • Advertisement