Anda di sini

Sarawak Pay memudahkan peniaga di luar bandar 

Advertisement

Bantu peniaga luar bandar jana wang hasil perniagaan, penyelesaian bagi syarikat perbankan alami kekurangan wang untuk transaksi

John Sikie (tengah) berkunjung bersama jemputan lain untuk melihat secara dekat makanan tradisi masyarakat Dayak oleh salah seorang peserta Bazar Gawai Dayak yang diadakan selama 10 hari di Dewan Masyaralat MBKS malam tadi.
John Sikie (tengah) berkunjung bersama jemputan lain untuk melihat secara dekat makanan tradisi masyarakat Dayak oleh salah seorang peserta Bazar Gawai Dayak yang diadakan selama 10 hari di Dewan Masyaralat MBKS malam tadi.

"Sekarang ada satu cara yang diperkenalkan oleh Premier Sarawak, supaya senang, terutama bagi kita yang berada di luar bandar, contohnya untuk menjalankan perniagaan mereka.” 

Datuk John Sikie Tayai
Menteri di Jabatan Premier Menteri Sarawak 

Oleh Henrietta Liza

KUCHING: Penggunaan Sarawak Government Fintech Platform (S PAY GLOBAL) atau lebih dikenali sebagai Sarawak Pay berupaya membantu peniaga di kawasan luar bandar menjana wang hasil perniagaan kata Menteri di Jabatan Premier Menteri Sarawak Datuk John Sikie Tayai malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai jalan penyelesaian bagi sesetengah syarikat perbankan di kawasan luar Kuching yang sering mengalami masalah kekurangan wang untuk tujuan transaksi.

"Sekarang ada satu cara yang diperkenalkan oleh Premier Sarawak, supaya senang, terutama bagi kita yang berada di luar bandar, contohnya untuk menjalankan perniagaan mereka. 

"Kerana, jika kita hanya mengharapkan duit (tunai) sahaja seperti mereka yang berada jauh di pedalaman perkara ini akan menjadi satu kesukaran," katanya kepada pemberita.

Beliau sebelum itu, turut menyaksikan upacara tradisi masyarakat Iban ‘ngiling tikai’ (menggulung tikar) sebagai tanda simbolik berakhirnya sambutan Gawai Dayak peringkat negeri yang diadakan di Dewan Masyarakat MBKS.

Sikie berkata pihaknya sedang merancang untuk memanjangkan tempoh penganjuran Bazar Gawai Dayak tahun depan.

Ia berikutan sambutan yang begitu memberangsangkan dan dikunjungi ribuan orang yang datang untuk mencuba pelbagai jenis makanan Dayak dan tempatan di samping membeli banyak produk kraf tangan di sini.

"Melalui laporan yang kami terima daripada jawatankuasa program, sambutan bazar adalah begitu menggalakkan dan dalam tempoh sembilan hari sahaja kita sudah mencecah jualan bernilai RM800,000.

"Dan untuk malam ini saya merasakan kita sudah mencapai kira-kira RM1 juta. Ini cukup memberangsangkan," tambahnya .

Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Tanah Adat dan Kastam) Jefferson Jamit Unyat.

Sebelum majlis ‘ngiling tikai’, Sikie turut mengambil kesempatan melawat beberapa gerai.

Aktiviti lain yang diadakan sepanjang acara sepuluh hari itu ialah program Dayak-Orang Ulu, Iban dan Bidayuh Art Night selain pertunjukan secara langsung persembahan pancaragam, Pertandingan Kumang dan Keling bagi peserta berumur sembilan hingga 15 tahun, Gawai Idol dan persembahan artis tempatan.

Advertisement