Anda di sini

Rakyat sedikit lega subsidi ayam, minyak paket diteruskan

Advertisement

KUCHING: Rakyat di negeri ini terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana sedikit lega dengan keputusan kerajaan untuk tidak mengapungkan harga ayam di pasaran negara. 

Tambah melegakan apabila kerajaan turut memutuskan untuk meneruskan subsidi minyak masak berpaket bagi membolehkan ia kekal dijual dengan harga RM2.50 sekilogram berbanding harga pasaran sebenar RM9.00. 

JOHN PATA

John Pata James Rumin berkata subsidi minyak masak berpaket ini sangat diperlukan oleh rakyat yang berpendapatan rendah lebih-lebih lagi dalam tempoh sukar ini dimana rakyat masih lagi bergelut dengan kesan pandemik COVID-19. 

Katanya walaupun kerajaan telah menyelaraskan kadar gaji minimum, tetapi rakyat masih bergelut dengan kenaikan harga barang terutama keperluan harian seperti daging ayam, minyak, tepung dan sebagainya. 

“Memandangkan kerajaan tidak akan mengapungkan harga ayam, kita berharap peniaga tidak akan menjual ayam pada harga yang terlampu tinggi. 

“Sebagai contoh semalam, saya beli ayam di sebuah pasar basah di sini dengan harga RM27 untuk satu ekor berbanding sebelum ini dengan harga kurang RM20 satu ekor ayam. 

“Begitu juga dengan minyak, meskipun subsidi diteruskan untuk minyak masa berpaket tetapi sukar untuk dapatkan bekalan dan yang ada pun cuma dalam botol,” katanya kepada Utusan Borneo. 

MARY
MARY ANTIONETTE

Bagi Mary Antionette Kadap pula, keputusan kerajaan untuk tidak mengapungkan harga ayam akan memastikan ayam dijual pada harga kawalan dengan menetapkan harga siling baharu. 

“Jika harga ayam diapungkan, peniaga akan menaikkan harga ayam dengan alasan kos penternakan seperti baja meningkat dan sebagainya. 

“Jadi, kita berharap harga siling baharu bagi ayam yang akan ditetapkan kerajaan kelak tidak akan membebankan rakyat dan peniaga,” katanya. 

Bagi minyak masak pula katanya, meskipun subsidi diteruskan bagi minyak masak berpaket, namun rakyat yang benar-benar memerlukannya sukar untuk mendapatkan bekalan di mana-mana pasar raya. 

Dalam hal ini katanya, kerajaan perlu memantau penjualan minyak masak berpaket ini agar ia sampai kepada rakyat yang memerlukan. 

ABANG ABDUL AZIZ

Sementara itu Abang Abdul Aziz Abang Abdul Rauf berterima kasih kepada kerajaan yang mendengar rintihan rakyat dengan tidak mengapungkan harga ayam dan meneruskan subsidi minyak masak berpaket. 

Langkah ini katanya adalah tepat bagi memastikan harga pasaran ayam dan minyak masak berpaket tidak dinaikkan sehingga membebankan rakyat. 

“Keputusan kerajaan ini jelasnya menunjukkan kepekaan kerajaan terhadap keperluan dan kesusahan rakyat. 

“Diharap kerajaan akan meningkatkan pemantauan supaya peniaga tidak terus mengambil kesempatan untuk menaikkan harga ayam dan minyak masak,” katanya. 

  • oleh
  • Advertisement