Anda di sini

Projek Jalan Pasi-Tanjung Manis manfaatkan seluruh kawasan tengah Sarawak

Advertisement
Huang menerima cenderahati berupa tikar daripada pihak SIDS Sarikei sebagai tanda penghargaan.
Huang menerima cenderahati berupa tikar daripada pihak SIDS Sarikei sebagai tanda penghargaan.

SARIKEI: Projek pembinaan Jalan Pasi ke Tanjung Manis bernilai RM321 juta akan memberi manfaat kepada bukan sahaja penduduk Sarikei malah seluruh kawasan tengah Sarawak. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, projek itu bakal melonjakkan lagi taraf sosial ekonomi penduduk di kawasan ini.

"Kita berharap rakyat di kawasan ini dapat melihat pembangunan ini sebagai satu peluang yang amat baik untuk mereka meningkatkan sumber pendapatan dengan menjadikan pembangunan ini sebagai platform terbaik untuk memajukan diri.

"Projek pembinaan jalan ini akan memudahkan jaringan perhubungan bagi kawasan di tengah Sarawak.

"Rakyat Sarawak perlu bersyukur kerana mempunyai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan sentiasa mengutama semua aspek negeri ini, iaitu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang merangkumi pembangunan pendidikan, ekonomi, sosial, kemudahan infrastruktur, kebajikan dan lain-lain perkara," kata Huang.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ngiling Bidai Gawai 2022 anjuran Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) cawangan Sarikei, di sebuah restaurant, dekat sini, malam Sabtu.

Majlis ini turut dihadiri oleh ahli-ahli SIDS dari cawangan Sibu, Selangau, Sibu Jaya, Bintangor, Sekuau, Mukah, Julau, Pakan, Roban serta ahli dari SDNU dan juga DBNA.

Dalam majlis ini juga Huang, turut menyeru masyarakat agar saling berganding bahu dan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak tanpa mengira ideologi politik untuk membangunkan Sarikei khususnya kawasan Repok.

Katanya, perpaduan dan sokongan padu terhadap kepimpinan kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat penting bagi memastikan hak Sarawak terus terbela dan maju ke hadapan dalam semua aspek.

Pada masa yang sama juga, Huang turut menyifatkan Majlis Ngiling Bidai Gawai ini menandakan sambutan Gawai Dayak dianggap berakhir dan bersedia menempuh tahun baharu. 

"Ia sangat bermakna kerana ia dapat mengekalkan tradisi serta adat resam kaum Dayak dan Iban, amnya. 

"Majlis yang berlangsung cukup meriah ini dapat mengeratkan semangat perpaduan dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat dan berharap majlis seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang," kata Huang lagi.

Hadir sama, Pengerusi SIDS Sarikei, Rosy Jita, Timbalan Pengerusi SIDS Sarikei, Lily Tingggang serta ahli-ahli SIDS yang lain serta ketua-ketua masyarakat setempat.

  • oleh
  • Advertisement