Anda di sini

Peningkatan jangkitan sporadik, Sabah rekod 123 kes baharu

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Sabah kembali mencatatkan peningkatan kes harian COVID-19 dengan 123 kes direkodkan hari ini iaitu pertambahan sebanyak 10 kes berbanding jumlah semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, tidak ada perubahan signifikan berbanding jumlah jangkitan pada hari sebelumnya kecuali pergerakan turun-naik jangkitan harian yang sentiasa berubah.

Katanya, jumlah daerah yang merekodkan peningkatan kes dengan daerah yang merekodkan penurunan adalah sama masing-masing enam daerah.

Menurutnya, beberapa daerah mencatatkan perubahan angka jangkitan yang agak besar iaitu Kota Kinabalu, Keningau, Tuaran, Sandakan, Penampang, dan Papar.

"Perubahan angka jangkitan harian di Kota Kinabalu yang berjumlah 81 kes hari ini perlu diambil perhatian oleh semua penduduk sekitar bandaraya.

"Hampir 85.2 peratus daripada jangkitan baharu di Kota Kinabalu adalah melalui jangkitan sporadik.

"Risiko jangkitan virus COVID-19 adalah tinggi di tempat khalayak ramai yang sesak atau semasa berkumpul beramai-ramai.

"Semua diperingatkan agar mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) bagi mengurangkan risiko jangkitan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak enam daerah kembali merekodkan jangkitan baharu setelah mencatatkan ‘kes sifar’ semalam, manakala empat daerah kembali mencatatkan kes sifar.

Masidi berkata, secara keseluruhan, sebanyak 16 daerah tidak mencatatkan sebarang kes baharu sepanjang 24 jam yang lalu berbanding 18 daerah semalam.

"Sebanyak 121 daripada 123 kes yang direkodkan hari ini adalah dalam kategori satu dan dua, serta dua kes dalam kategori empat," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement