Anda di sini

Pengusaha digesa segera daftar syarikat pelancongan

Advertisement
 Jafry (tengah) bersama jemputan lain semasa lawatan kerja ke Semporna.
LAWATAN: Jafry (tengah) bersama jemputan lain semasa lawatan kerja ke Semporna.

KOTA KINABALU: Pengusaha pelancongan di Semporna yang belum mendaftarkan syarikat dinasihatkan untuk mengemukakan segera permohonan bagi mengelakkan masalah pada masa hadapan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, sekurang-kurangnya sebanyak 41 syarikat dikenal pasti masih gagal mengemukakan permohonan lesen.  

Beliau mengingatkan para pengusaha terlibat supaya mendaftarkan syarikat masing-masing dengan segera supaya tidak mendatangkan risiko kepada pelancong dengan menggunakan perkhidmatan pelancongan yang tidak berlesen. 

Menurutnya, jika berlaku kemalangan terutama di laut, seperti bot karam ia bukan saja beri kesan kepada pelancong malah pihak berkuasa juga menghadapi masalah berikutan tiada rekod maklumat pengusaha, bot, serta pelancong. 

Katanya, hasrat kementerian adalah untuk memastikan pelancong dilindungi dan mendapatkan khidmat pelancongan yang telus. 

"Saya yakin dan percaya, kejayaan atau kegagalan sesebuah destinasi pelancongan bergantung kepada kebolehan kita dalam menyediakan persekitaran selamat dan terjamin kepada pelancong," katanya dalam satu lawatan kerja di daerah Semporna bermula semalam.

Di samping itu Jafry berkata, satu sesi libat urus kementerian bersama pengusaha pelancongan Semporna turut diadakan untuk mengetahui perkembangan pelancongan sekali gus mengenal pasti masalah-masalah yang mereka hadapi.

Selain itu, pihaknya juga memberi jaminan untuk menangani masalah pengusaha pelancongan di jeti pelancongan Semporna yang terpaksa menunggu lama untuk pemeriksaan sebelum pelepasan ke pulau.

Beliau mencadangkan agar satu usaha bersepadu dilaksanakan di antara Majlis Daerah Semporna, pihak berkuasa, dan pengusaha pelancongan untuk memastikan perjalanan yang selamat, iaitu lulus dari segi spesifikasi undang-undang dan perjalanan lancar mengikut masa yang ditetapkan. 

"Kita ada peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi, oleh itu dengan tindakan bersepadu dan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan, saya yakin semua permasalahan pasti dapat diselesaikan," katanya.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Mohd Yusrie Abdullah dan Pegawai Daerah Semporna Juraimin Jadil.
 

  • oleh
  • Advertisement