Anda di sini

Pendedahan isu berkaitan langkah keselamatan kebakaran terus diperluas

Advertisement
Penduduk diberi peluang mengendalikan alat pemadam api mudah alih untuk memadam kebakaran.
Penduduk diberi peluang mengendalikan alat pemadam api mudah alih untuk memadam kebakaran.

SARIKEI: Pendedahan isu berkaitan langkah keselamatan kebakaran  terutama di rumah panjang akan terus diperluaskan dan diperbanyakkan bagi memastikan masyarakat dapat bertindak bijak dalam mengendalikan situasi kebakaran terutama yang berlaku pada peringkat awal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata, pendedahan seumpama ini amat penting bagi memastikan penduduk tidak mudah panik apabila berhadapan dengan situasi sebenar seperti kebakaran.

"Kita mahu mendidik dan menambah pengetahuan penduduk rumah panjang dalam memastikan tahap keselamatan mereka sentiasa terjaga dan diutamakan apabila berhadapan dengan situasi kecemasan.

"Dalam program ini, kita akan mendedahkan dan memberikan tunjuk ajar kepada penduduk tentang cara menggunakan alat pemadam api mudah alih, tatacara mengendalikan kebakaran dapur terutama yang melibatkan kebakaran atau kebocoran tong gas memasak dan memberi taklimat ringkas berkaitan keselamatan kebakaran.

"Kita berharap dengan pendedahan seumpama ini, ia akan dapat membantu mengurangkan segala bentuk risiko yang berbahaya ataupun membantu penduduk membina keyakinan diri bila berhadapan dengan situasi kecemasan," kata Mahmudin.

Beliau berkata demikian kepada media sejurus selesai menghadiri Program Kesedaran Keselamatan Kebakaran di Rumah Jana Ramping, dekat sini, hari ini.

Program itu dikendalikan dua anggota bomba dan diketuai Mahmudin serta dihadiri seramai 20 penduduk rumah panjang terbabit.

Menurut Mahmudin, sejak kebelakangan ini, isu berkaitan kebakaran yang berlaku melibatkan rumah panjang semakin membimbangkan.

Namun demikian katanya, beberapa kejadian turut berjaya dipadamkan oleh penduduk rumah panjang sendiri, sebelum ketibaan pihak bomba.

"Tindakan pantas, cepat dan tepat inilah yang kita harapkan daripada penduduk sebelum situasi menjadi lebih serius berlaku.

"Dengan kemudahan alat pemadam api tersedia di setiap rumah panjang dan pengetahuan dalam mengendalikan alat pemadam api mudah alih, telah banyak memberi manfaat terutama menyelamatkan rumah panjang daripada ditimpa musibah kebakaran.

"Kita berharap dengan penganjuran program seumpama ini, ia dapat terus membantu penduduk mempertingkatkan lagi tahap keselamatan di sesebuah rumah panjang daripada sebarang risiko kebakaran," jelas Mahmudin.

Pada program itu penduduk turut diberi peluang mengendalikan alat pemadam api mudah alih dengan bimbingan anggota bomba bertugas.

Pada masa yang sama, Mahmudin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Tuai Rumah Jana Ramping dan penduduk rumah panjang terbabit atas komitmen dan sokongan padu terhadap penganjuran program berkenaan di rumah panjang mereka. 

Advertisement