Anda di sini

PDRM perhebat pemantauan sempadan perairan Sabah

Advertisement
 Idris (tengah) tiba untuk menyempurnakan Program Outreach Community Policing di Pekan Karakit Pulau Banggi Kudat.
KOMUNITI: Idris (tengah) tiba untuk menyempurnakan Program Outreach Community Policing di Pekan Karakit Pulau Banggi Kudat.

KUDAT: Polis Kontinjen Sabah memperhebatkan lagi pemantauan di sempadan perairan Sabah dengan negara jiran bagi mencegah kegiatan tidak diingini khususnya jenayah rentas sempadan.

Pemantauan menerusi udara dan laut itu dilakukan secara berterusan menggunakan aset unit udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bot ronda Pasukan Polis Marin (PPM).

Visual eksklusif pemantauan menerusi laut di sekitar perairan Kudat yang terletak berhampiran sempadan antarabangsa ini dijayakan menerusi kerjasama Polis Kontinjen Sabah dan Wakil Rangkaian Media Prima Sabah.

Tinjauan disertai Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad; Ketua Polis Daerah Kudat Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah; serta Wakil Rangkaian Media Prima Sabah Mohd Yazzer Mahmun.

Perairan Kudat di utara Sabah terletak berhampiran sempadan antarabangsa dan menjadi laluan utama penduduk negara jiran.

Idris berkata, secara keseluruhannya, kawalan sempadan di negeri ini memang ada rondaan oleh pihak berkuasa membabitkan PDRM, PPM, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

"Saya melihat dari segi penugasan anggota-anggota di persempadanan sekali gus memikirkan beberapa perkara yang perlu untuk meningkatkan lagi kemudahan infrastruktur bagi  anggota yang bertugas di kawasan persempadan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di sekitar perairan Kudat termasuk sempadan perairan Pulau Mangsi dan Pulau Banggi di sini Jumaat lepas.

 Keadaan pemantauan menerusi laut di sekitar perairan Kudat yang terletak berhampiran sempadan antarabangsa.
PEMANTAUAN: Keadaan pemantauan menerusi laut di sekitar perairan Kudat yang terletak berhampiran sempadan antarabangsa.

Sebelum itu, Idris turut berkesempatan menyempurnakan Program Outreach Community Policing di Pekan Karakit Pulau Banggi dekat sini.

Ia sebahagian strategi Polis Kontinjen Sabah untuk mendekati orang ramai menerusi program kepolisan bersama masyarakat atau polis komuniti.

Katanya, Pulau Banggi dipilih sebagai lokasi program itu kerana kedudukannya yang berhampiran sempadan negara jiran selain turut menjadi laluan utama penduduk negara jiran. 

"Masyarakat di sini perlu diberi kesedaran bahawa pentingnya keselamatan. Justeru, program pada hari ini adalah satu program kolaborasi dengan masyarakat.

"Mereka juga boleh membantu pihak pasukan keselamatan sama ada dari segi menyalurkan maklumat dan juga bekerjasama dengan kita untuk memastikan negara kita ini tadi tidak dibolosi," jelasnya.

Selain beramah mesra dengan penduduk setempat, program ceramah pencegahan jenayah termasuk jenayah seksual, komersial dan  narkotik turut diadakan.

Menurutnya, program sedemikian perlu diteruskan dengan membabitkan masyarakat setempat.

Beliau berkata, polis mempunyai mekanisme untuk penduduk menyalurkan apa juga maklumat kepada pihak berkuasa termasuk menerusi aplikasi telefon pintar Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau memaklumkan mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, pihaknya menyarankan orang ramai untuk menyertai unit Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) untuk bersama-sama dengan pasukan keselamatan menjaga keamanan dan keselamatan negara.
 

Advertisement