Anda di sini

McLaughlin cipta rekod 400m baharu 

Advertisement
 

EUGENE:Sydney McLaughlin menempah tiket ke kejohanan Olahraga Dunia dengan mencipta rekod dunia 51.41 saat apabila memenangi acara 400 meter lompat pagar pada kejohanan kelayakan Amerika Syarikat (AS) di sini pada Sabtu.

McLaughlin mengenepikan rekod lama 51.46 saat yang dicipta beliau ketika memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo pada 4 Ogos tahun lepas, dengan mempamerkan satu lagi prestasi luar biasa di Hayward Field di sini, yang menyaksikan naib juara, Britton Wilson, juga melepasi garisan penamat dengan masa jauh di belakang 53.08 saat.

Shamier Little di tempat ketiga dengan catatan 53.92 saat. 

Ketiga-tiga pemenang ini akan mewakili AS di stadium yang sama pada bulan Julai depan untuk kejohanan dunia — apabila juara bertahan, Dalilah Muhammad akan cuba mempertahankan kejuaraannya.

Layak selaku juara bertahan, Dalilah — yang menewaskan McLaughlin di Doha pada 2019 tetapi menduduki tempat kedua di Tokyo – menerima pengecualian untuk tidak menyertai kejohanan kelayakan kerana kecederaan.

McLaughlin menunjukkan bahawa dia tidak memerlukan pencabar kuat untuk meletakkannya di kemuncak saingan musim ini dan memberi amaran kepada mereka yang mencabarnya di Eugene, di mana dia memecah rekod dunia buat kali pertama pada bulan Jun lepas.

“Sesiapa sahaja datang ke sini, saya merasakan sesuatu yang luar biasa akan berlaku,” kata McLaughlin.

Beliau berkata, tiada apa yang dapat membandingkan perasaan memecah rekod dunia buat kali pertama tetapi ia tidak bermakna dia tidak akan memburu lagi rekod dunia pada bulan hadapan.

“Ini hanya satu petunjuk hebat di mana kedudukan kami,” katanya. “Saya berharap kami akan pulang dan meningkatkan lagi pencapaian dan cuba kembali dengan lebih bagus lagi.”

Pencapaiannya melengkapkan satu hari di mana 11 acara akhir berlangsung dan selamat jalan kepada juara Olimpik, Allyson Felix — 21 tahun selepas melakukan larian pertama.

Felix menamatkan perlumbaan di tempat keenam dalam acara 400 meter, menjadikan dia hampir pasti menimbangkan penyertaan dalam acara berganti-ganti di kejohanan dunia.

“Saya fikir saya seharusnya berada pada kedudukan baik untuk mungkin dalam acara berganti-ganti,” kata Felix.

Felix akan menamatkan karier yang termasuk 29 pingat kejohanan dunia dan Sukan Olimpik — termasuk tujuh pingat emas Olimpik.

Pada acara lain, Talitha Diggs, anak perempuan juara empat kali Olimpik, Joetta Clark-Diggs dan juara peringkat kolej NCAA, memenangi acara 400 meter wanita dengan masa 50.22 saat, mengatasi pelari yang mendahului awal, Lynna Irby dan Kendall Ellis pada 20  meter terakhir.

Ellis terpaksa akur di tempat kedua dengan Irby di tempat ketiga.

Michael Norman, yang memburu pingat emas kejohanan dunia  untuk membantu melupakan kekecewaan menamatkan perlumbaan di tempat kelima di Sukan Olimpik Tokyo, meraih kemenangan dalam acara 400 meter lelaki dengan catatan terbaik tahun ini ,43.56 saat.

Pemegang rekod dunia, Keni Harrison, memenangi acara 100 meter lompat pagar wanita dengan satu lagi catatan terbaik tahun ini 12.32 saat, tempat kedua di menangi Alaysha Johnson dan Alia Armstrong di tempat ktiga.

Juara dunia, Nia Ali, memilih untuk tidak berlari di final tetapi akan melengkapkan senarai skuad AS untuk ke kejohanan dunia. — AFP

Advertisement