Anda di sini

Masalah kewangan bukan alasan tidak lanjut pelajaran

Advertisement

Pelbagai kaedah, bantuan disedia kerajaan GPS bantu golongan tidak berkemampuan lanjut pelajaran

(Dari depan, dua kiri) Royston, Abdul Yakub dan yang lain bersama hadirin pada Ekspo Pendidikan di Mukah kelmarin.
(Dari depan, dua kiri) Royston, Abdul Yakub dan yang lain bersama hadirin pada Ekspo Pendidikan di Mukah kelmarin.

"Antaranya melalui Yayasan Sarawak dan pelbagai syarikat korporat, agensi serta bantuan lain ditawarkan institusi pengajian tinggi yang ada di Sarawak."

Abdul Yakub Arbi
ADUN Balingian 

Oleh Mohamad Achil Norrlatep

MUKAH: Kemiskinan atau kekangan kewangan tidak harus dijadikan alasan membantutkan usaha pelajar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, terdapat pelbagai kaedah atau bantuan disediakan kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) membantu golongan tidak berkemampuan melanjutkan pelajaran.

"Antaranya melalui Yayasan Sarawak dan pelbagai syarikat korporat, agensi serta bantuan lain ditawarkan institusi pengajian tinggi yang ada di Sarawak," katanya ketika berucap pada Ekspo Pendidikan Peringkat Daerah Mukah di Centre Of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS) di sini, kelmarin.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.

Menurutnya, pelbagai bantuan kewangan dan biasiswa disediakan bagi golongan terbabit supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sekali gus mengubah masa depan diri sendiri dan keluarga.

"Hanya melalui pendidikan tinggi dapat mengubah masa depan mereka dengan mendapat pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan dan masa depan lebih cerah. 

"Mereka juga bakal mendapat pendidikan terbaik dan setelah itu menjanjikan pendapatan lumayan yang mampu mengubah nasib mereka," jelasnya.

Abdul Yakub berkata, lihat sahaja Mukah ketika ini dipilih sebagai salah sebuah hab pendidikan dengan pelbagai institusi pengajian tinggi dibangunkan.

Katanya, bagi pelajar yang tinggal berdekatan dan sekitarnya ini merupakan satu kelebihan yang perlu dimanfaat dan disyukuri.

"Pendidikan tinggi juga satu tempat di mana ia bakal membentuk insan berfikiran kritikal yang dapat menggunakan logik akal dalam membuat keputusan, malah mampu berfikir lebih kreatif dan bijak dalam soal kehidupan," jelasnya.

Beliau menambah, melalui pendidikan tinggi juga mereka akhirnya berpeluang menyandang jawatan penting yang menawarkan gaji lumayan ketika di alam pekerjaan.

"Ini secara tidak langsung dapat mengubah golongan masyarakat miskin tegar apabila anak-anak mempunyai pendidikan tinggi. 

“Bukan itu sahaja malah mempunyai ekonomi, kesejahteraan dan kehidupan lebih selesa," katanya.

Advertisement