Anda di sini

Manfaat kemudahan untuk hasilkan penyelidikan bertaraf dunia

Advertisement

UTS miliki kemudahan, fasiliti terbaik namun tidak bermakna jika tidak diguna sepenuhnya oleh pensyarah, pelajar

Jaibi (kiri) menyerahkan plak penghargaan kepada Khairuddin selepas Majlis Perasmian Pameran ReTEx 2022 di UTS, Sibu, hari ini.
Jaibi (kiri) menyerahkan plak penghargaan kepada Khairuddin selepas Majlis Perasmian Pameran ReTEx 2022 di UTS, Sibu, hari ini.

"Saya pernah melawat ke beberapa negara kurang membangun, di mana saya melihat kemudahan makmal dan kampus mereka hanya bertaraf kelas dunia ketiga tetapi penyelidikan mereka bertaraf dunia.” 

Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid
Naib Canselor UTS 

Oleh Borhaniza Ali Basah

SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menggesa pensyarah dan pelajarnya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan fasiliti yang ada disediakan di universiti terbabit bagi menghasilkan pelbagai penyelidikan intelektual bertaraf dunia.

Berucap merasmikan Pameran Kajian, Teknologi dan Kreatif (ReTEX) 2022 di UTS hari ini, Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, UTS mempunyai pelbagai kemudahan dan fasiliti yang terbaik.

Bagaimanapun, beliau menzahirkan rasa bimbang terhadap kemungkinan kemudahan dan fasiliti itu tidak digunakan sepenuhnya oleh pensyarah dan pelajar.

"Saya pernah melawat ke beberapa negara kurang membangun, di mana saya melihat kemudahan makmal dan kampus mereka hanya bertaraf kelas dunia ketiga tetapi penyelidikan mereka bertaraf dunia.

"Sebab itu, saya risau, kita boleh mempunyai bangunan terbaik tetapi kandungannya sifar. Jadi, apa yang saya mahu berlaku dengan UTS, kita mempunyai kemudahan yang betaraf dunia ini dan juga mempunyai penyelidikan bertaraf dunia," katanya.

Sehubungan itu katanya, UTS sejak empat tahun lalu telah bekerja keras menggalakkan pensyarah-pensyarahnya menjalankan pelbagai penyelidikan.

Untuk tujuan itu, UTS katanya, telah menubuhkan pusat penyelidikan yang baharu dan menyediakan pelbagai bentuk geran untuk para pensyarahnya memulakan penyelidikan mereka.

Bagaimanapun, Khairuddin menegaskan bahawa kajian yang dibuat perlu menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Tiada gunanya jika produk penyelidikan hanya untuk anda bentangkan dalam persidangan antarabangsa dan anda mendapat promosi tetapi tiada siapa yang mendapat manfaat daripada penyelidikan anda.

"Penyelidikan hari ini adalah mengenai bagaimana penyelidikan anda akan memberi manfaat kepada orang di sekeliling anda," tegasnya.

Mengenai pameran ReTEx itu, beliau berharap para pelajar dapat mengambil peluang untuk menambah baik mutu personaliti mereka, sekali gus memberi gambaran baik kepada pihak industri dan orang ramai di luar sana.

Beliau turut mencadangkan pameran berkenaan dijadikan sebagai acara tahunan UTS dan dikendalikan sendiri oleh para pelajar dengan sokongan daripada pihak pengurusan UTS.

Sementara itu, Pameran ReTEx yang julung kali diadakan disertai dua program terlibat iaitu Sarjana Muda Sastera Reka Bentuk Perindustrian (Kepujian) dan Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) daripada Pusat Pengajian Pengkomputeran dan Media Kreatif (SCM).

ReTEx 2022 yang bermula 27 hingga 29 Jun terbahagi kepada tiga acara kecil iaitu persembahan projek akhir (27 Jun), persembahan penyelidikan dan projek akhir (28 Jun) dan pameran (29 Jun).

Turut berucap ialah pengerusi penganjur ReTEx 2022 Jaibi Sabian.

Advertisement