Anda di sini

Lebih banyak perbincangan bakal diadakan sentuh keutamaan pembangunan BIDA

Advertisement
Uggah disertai Chuat bersalaman dengan tetamu pada majlis tersebut.
Uggah disertai Chuat bersalaman dengan tetamu pada majlis tersebut.

KUCHING: Lebih banyak perbincangan bakal diadakan menyentuh keutamaan pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Betong (BIDA) yang baru ditubuhkan kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Program Gawai Dayak/Ziarah UKAS anjuran bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Saban dan UKAS Betong di Dewan Masyarakat dekat Spaoh, semalam.

“Kami baru-baru ini telah mengadakan perbincangan awal dengan semua wakil rakyat dan beberapa pegawai kerajaan dalam bahagian yang mana perbincangan seterusnya akan kita libat sama ketua masyarakat," katanya.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban percaya menerusi perbincangan tersebut maka lebih banyak input berkaitan boleh diperolehi.

BIDA sebelum ini telah diperuntukkan dana berjumlah RM1.5 bilion. 

Maka, beliau menegaskan terdapat keperluan mendesak bagi membuat keputusan tentang keutamaan pihaknya di sini. 

“Kita mahu mempercepatkan proses pembangunan termasuk dalam bidang sosioekonomi agar rakyat berupaya menjana pendapatan," tegasnya.

BIDA tambah Uggah, merupakan sebuah hadiah daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai tanda penghargaan kepada penduduk Betong atas sokongan padu yang berterusan mereka kepada kerajaan.

Beliau berkata pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 baru-baru ini, rakyat telah memberi sokongan padu kepada calon Gabungan Parti Ssarawak (GPS) dari Layar, Bukit Saban, Saribas, Krian, Beting Maro, Kalaka, Kabong dan Lingga.

“Kini BIDA meliputi sebahagian daripada kerusi Parlimen Lingga dan Parlimen Betong dan Batang Lupar.

“Kita turut berharap pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, rakyat akan masih memberi sokongan padu yang sama kepada calon GPS bagi Betong dan Batang Lupar.

“Abaikan mereka yang datang menawarkan diri jika mereka bukan daripada GPS.

"Mereka hanya mengambil peluang tanpa ada agenda yang praktikal atau sokongan kuat untuk menawarkan sebarang bantuan," katanya.

Menyentuh mengenai sektor pertanian, Uggah mengulangi gesaannya agar rakyat mengusahakan bidang ternakan dan ikan kolam selain aktiviti lain.

Bagaimanapun, tidak ramai ujarnya, yang menyahut gesaan beliau itu sedangkan permintaan terhadap daging dan ikan sentiasa meningkat ditambah dengan kemudahan yang disediakan kerajaan kini.

Turut hadir sama Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat, Setiausaha Politik Premier Sarawak Dr Richard Rapu dan Pegawai UKAS Bahagian Betong Tony Malang.

Advertisement