Anda di sini

Kolaboratif Politeknik, Arnab Village beri impak positif pelancongan di Tawau

Advertisement
 Nizam menyaksikan majlis menandatangani nota hasrat tersebut antara Haniza dengan Lim.
TANDATANGAN: Nizam menyaksikan majlis menandatangani nota hasrat tersebut antara Haniza dengan Lim.

TAWAU: Kolaboratif antara Politeknik Tawau dengan ‘Arnab Village Tawau’ adalah satu usaha yang baik bagi memberi impak positif kepada industri pelancongan di daerah ini.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata penuntut yang terlibat dalam latihan industri ini boleh mempraktikan kemahiran mereka di pusat pelancongan ini.

Katanya, kolaboratif ini bukan sahaja memberi kebaikan kepada pengusaha pelancongan tetapi penuntut juga memperoleh nilai tambah kefahaman dan kemahiran yang mereka pelajari.

“Saya melihat hasil kerja tangan penuntut Politeknik Tawau di ladang arnab ini sangat memberangsangkan dan mampu menarik pelancong datang ke sini.

“Lukisan mural sepanjang 100 kaki yang dibuat oleh penuntut umpamanya sudah tentu menjadi tarikan untuk orang datang bergambar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, berkata demikian semasa merasmikan majlis menandatangani nota hasrat kolaborasi Politeknik Tawau dan Arnab Village Tawau, di sini semalam.

Nizam berharap Arnab Village Tawau akan menjadi destinasi yang wajib dikunjungi oleh pelancong yang datang ke daerah ini.

“Saya optimis pelancong luar yang mendarat di Lapangan Terbang Tawau tidak hanya ke daerah Semporna, tetapi akan berkunjung di Arnab Village Tawau,” katanya.

 Nizam memotong riben sebagai simbolik perasmian majlis tersebut.
RASMI: Nizam memotong riben sebagai simbolik perasmian majlis tersebut.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Tawau, Dr. Haniza Mohamad berkata pihaknya melihat perlunya kerjasama yang rapat antara rakan industri dengan pemberi pembelajaran dalam bidang pelancongan.

“Kolaboratif ini adalah satu perjanjian yang rasmi tanpa melibatkan sebarang aktiviti kewangan, dimana bekerjasama untuk membangunkan dari segi fasiliti dan kesediaan menerima kehadiran pelancong.

“Ia juga memberi satu impak yang signifikan kepada Arnab Village Tawau dan penuntut politeknik dalam memakmurkan industri pelancongan di Tawau,” katanya.

Beliau berkata pemilik Arnab Village Tawau juga sentiasa mengalu-alukan kedatangan penuntut untuk menjalankan latihan industri dan tiada halangan mengambil mereka bekerja di sini sekiranya berminat.

“Saya juga melihat penuntut boleh mengaplikasikan pengalaman ini sekiranya timbul hasrat untuk menjadi usahawan pelancongan pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Tawau, Zaulkafli Mohamed; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Politeknik Tawau, Helen Lau; Pemilik Arnab Village Tawau, Lim Yit Wei dan Pui Bui Liung.

  • oleh
  • Advertisement