Anda di sini

Kerajaan sambut baik pembangunan kebudayaan komuniti

Advertisement
 Joachim (kanan) mengadili pertandingan makanan tradisi KDMR.
PERTANDINGAN: Joachim (kanan) mengadili pertandingan makanan tradisi KDMR.

PENAMPANG: Kerajaan negeri menyambut baik dan mengambil berat soal pembangunan kebudayaan komuniti melalui pelbagai aktiviti seperti sambutan perayaan Pesta Kaamatan.   

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joachim Gunsalam berkata pembangunan kebudayaan ini sangat penting bagi mempromosikan kepelbagaian suku kaum di negeri ini kepada masyarakat luar.

Katanya, kebudayaan yang diwarisi turun temurun tersebut juga dilihat mampu meningkatkan kemahiran insaniah dalam kalangan belia di negeri ini.

“Melalui penglibatan belia dalam pelbagai acara dan pertandingan kebudayaan dapat memberikan mereka kefahaman berkaitan budaya supaya ia dapat diteruskan sampai bila-bila.

“Justeru, Pesta Kaamatan diharapkan dapat diteruskan serta menjadi satu wadah untuk mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat dan pemimpin,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan ‘Lamai Kaamatan’ PBS Moyog 2022, di sini semalam.

Joachim menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada penganjur kerana berjaya mengadakan majlis yang julung kali diadakan ini.

Menurutnya, majlis ini bukan sahaja untuk meneruskan tradisi Kadazandusun, tetapi ia mampu menjadi platform mengukuhkan jalinan perpaduan, khususnya di Penampang selaras konsep Keluarga Malaysia.

“PBS Moyog berada pada landasan yang betul dalam merealisasikan agenda pembangunan kebudayaan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Majlis ini cukup istimewa kerana keterlibatan ahli PBS dan rakan strategik serta anggota masyarakat yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur,” katanya.

Turut hadir, Ketua Bahagian PBS Moyog yang juga Naib Presiden ​Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), John Chryso Masabal dan Ketua Pemuda PBS Moyog, Rudy J. Jikinon.

  • oleh
  • Advertisement