Anda di sini

JPNS dimohon berdialog dengan ibu bapa susulan keadaan ekonomi tidak menentu

Advertisement
Tiong (tiga kiri) menyerahkan baucar Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak 2022 kepada penerimanya sambil disaksikan (dari kiri) Sio, Awang, Mahathir dan Ahli di Sibu, semalam.
Tiong (tiga kiri) menyerahkan baucar Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak 2022 kepada penerimanya sambil disaksikan (dari kiri) Sio, Awang, Mahathir dan Ahli di Sibu, hari ini.

SIBU: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dimohon mengadakan sesi dialog dengan para ibu bapa susulan keadaan ekonomi tidak menentu lebih-lebih lagi selepas tempoh pandemik ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Dato Sri Tiong King Sing berkata, ini kerana ramai dalam kalangan ibu bapa kini menghadapi masalah kewangan.

"Selepas pandemik COVID-19 ini, banyak masalah timbul. Sebagai kakitangan dan pegawai kerajaan mesti tahu masalah ibu bapa ini.

"Dengan cara berdialog ini, ia adalah cara kita untuk mendekati ibu bapa serta mengenal pasti masalah mereka seterusnya mencari jalan penyelesaian," katanya berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak 2022 di SJKC Thai Kwang di sini, hari ini.

Majlis itu dianjurkan oleh Yayasan Sarawak dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Dudong, Pejabat Residen Bahagian Sibu, Pejabat Daerah dan JPNS.

Hadir sama ialah Pemangku Penolong Pengarah Yayasan Sarawak (Bagi Program dan Bantuan) Mahathir Mohammad, Timbalan Residen Bahagian Sibu Awang Mohammad Nizam, Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Ahli Chikba dan Guru Besar SKJC Thai Kwang Sio Siok Hie.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu memberitahu, beliau sedia membantu menyediakan lokasi sesi dialog itu sekiranya JPNS atau pihak sekolah menghadapi kesulitan berhubung perkara tersebut.

"Kalau ada masalah buat di sekolah, kita boleh buat di hotel atau di tempat lain. Saya sedia membantu mengenai perkara ini.

"Kita tidak mahu masalah ibu bapa ini berlarutan sehingga ada antaranya tidak mampu menghantar anak-anak ke sekolah disebabkan masalah yang menghimpit mereka," tegasnya.

Beliau berkata, dengan berdialog sekurang-kurangnya masalah ibu bapa diketahui dan diberi perhatian.

"Inilah masa kita bantu ibu bapa kerana selepas pandemik COVID-19 ini sudah tentu banyak masalah berlaku. 

"Kita tidak mahu masalah-masalah yang menghimpit ibu bapa ini menjadi penyebab kepada anak-anak mereka tidak bersekolah," tegas Duta Khas Perdana Menteri Ke Republik Rakyat China itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa Yayasan Sarawak terus mengambil inisiatif membantu murid dan pelajar dengan meneruskan bantuan sedia ada bagi mengurangkan beban ibu bapa.

Bercakap mengenai majlis tersebut, Tiong memberitahu bahawa seramai 649 murid dan pelajar di kawasan DUN Dudong telah dipilih untuk menerima baucar tunai RM200 daripada Yayasan Sarawak untuk membeli pakaian seragam sekolah.

Daripada jumlah tersebut, jelasnya, 368 orang adalah pelajar sekolah menengah dan 281 orang adalah murid sekolah rendah.

"Walaupun bantuan ini tidak seberapa tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa khususnya mereka daripada golongan B40. Kita tahu keadaan ekonomi sekarang tidak berapa bagus.

"Inisiatif begini daripada Yayasan Sarawak wajar diteruskan lagi pada masa akan datang," jelasnya sambil mengingatkan para murid dan pelajar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi menjaga kesihatan masing-masing.

Beliau juga berharap agar ibu bapa dapat menggunakan bantuan itu dengan sebaik mungkin serta memperoleh manfaat.

Tiong turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM150,000 kepada SJKC Thai Kwang bagi membantu melaksanakan penyelenggaraan sekolahnya.

Advertisement